Ultras Kelantan terkilan dengan syarat Qu Puteh yang mahu menukar nama bagi pasukan bola sepak Kelantan
PETALING JAYA: Pasukan Ultras Kelantan tidak mempunyai sebarang
masalah sekiranya warna Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ditukar kepada
merah jambu atau pink.
Namun, kelab penyokong pasukan bola sepak Kelantan itu sedikit
terkilan dengan penukaran nama pasukan kepada Pamoga Qu Puteh The Red
Warriors.
Jurucakap Ultras Kelantan yang dihubungi FMT, berkata tindakan menukar nama pasukan perlu dikaji semula kerana tidak sesuai.
Ini kerana, katanya, tempoh kontrak yang ditandatangani pengasas Vida
Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida hanyalah
dua tahun sahaja.
“Bagi kami Ultras Kelantan mengenai stadium dan jersi ditukar kepada
merah jambu itu tidak ada masalah, tetapi penukaran nama pasukan membuat
kami rasa sedikit terkilan.
“Kontrak Qu Puteh hanyalah dua tahun sahaja, bagaimana sekiranya Qu
Puteh tidak lagi menaja Kelantan, adakah nama pasukan akan ditukar lagi?
“Kami tidak mempunyai niat untuk membantah usaha yang dilakukan
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Datuk Vida tetapi ingin
mencadangkan supaya pertukaran nama pasukan dikaji semula. Bgaimanapun
kami tetap menyokong pasukan Kelantan,” katanya.
Pandangan berbeza dibuat Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors
(TRW) Kota Bharu, Zainy Mohamad Zain yang menerima dengan hati terbuka
syarat yang ditetapkan Datuk Vida itu kerana penaja mempunyai hak.
“Memang tak boleh nafi maruah Kelantan sedikit tercalar kerana
ditukar nama, tetapi kita kena akur dengan permintaan penaja ditambah
pula dengan keadaan kewangan KAFA yang terhad demi kebaikan dan
pembangunan pasukan yang merosot dua tahun lepas,” katanya.
Dia juga bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak supaya KAFA
menyediakan tempat duduk dan kaunter tiket khas bagi wanita untuk
menyaksikan perlawanan bola sepak.
FMT

No comments:
Post a Comment