Thursday, January 28, 2016

Rayani Air nafi lantik Haron Din sebagai penasihat

Sinar Harian

Rayani Air nafi lantik Haron Din sebagai penasihat
Ravi (tengah, hadapan) semasa sidang media. - Foto Sinar Harian



KOTA BHARU - Syarikat penerbangan baru, Rayani Air Sdn Bhd menafikan cadangan melantik Mursyidul Am Pas Datuk Haron Din sebagai penasihat kepada konsep patuh syariah yang diperkenalkan.
Pengarah Eksekutifnya, Ravi Alagendrran berkata, perkara berkenaan sebelum ini timbul berikutan berlaku salah faham semasa perbincangan untuk pemilihan panel.

“Kenyataan sebelum ini (melantik Haron) adalah tidak benar kerana berlaku salah faham, yang mana kita mulakan patuh syariah dengan tiga perkara iaitu doa dalam pesawat, tiada alkohol serta kewajipan krew Islam berhijab.
“Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan beberapa tokoh ulama untuk mewujudkan garis panduan konsep patuh syariah, namun belum menentukan siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai khabar angin mengatakan Rayani Air berhasrat melantik Haron sebagai penasihat patuh syariah. 
Terdahulu sebelum itu, Ravi mengadakan lawatan bersama Media Kelantan untuk meninjau operasi Rayani Air di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air belum hubungi saya, kata Haron]
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan  syarikat penerbangan itu bakal melantik Haron sebagai penasihat patuh syariah, bagaimanapun, perkara itu turut dinafikan Haron Din.

Tegas Ravi, pihaknya akan terus mengekalkan konsep patuh syariah dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Rayani Air.
Dalam perkembangan sama, Rayani Air turut menafikan beberapa khabar angin mengatakan pihaknya akan membuat pengasingan tempat duduk mengikut jantina.

“Rayani Air tidak mahu tampil sebagai syarikat yang ekstremis. Kita sedar Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Kita masih baru dan tidak mempunyai hasrat untuk bersaing dengan mana-mana syarikat penerbangan lain, apa yang penting Rayani Air mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment