25/7/16
Bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah
meramalkan beberapa pemimpin tertinggi Umno akan beralih kepada
pembangkang ekoran tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ)
Amerika Syarikat untuk merampas berbilion-bilion aset yang didakwa
disalah gunakan daripada dana pelaburan negara 1MDB.
Laporan South China Morning Post hari ini memetik Firdaus
sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telahpun memulakan perbincangan
dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Umno dalam keadaan gundah-gulana. Beberapa pemimpin kanan parti itu
telah mula 'berbincang' dengan Mahathir," ujar Firdaus, memetik laporan
yang sama.
"Di kalangan mereka ialah ahli-ahli Umno kanan, anggota-anggota
kabinet dan para pemimpin parti komponen BN," dakwanya tanpa mendedahkan
butiran lanjut.
Baru-baru ini, Mahathir mengumumkan penubuhan parti politik baru yang
akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir yang merupakan ahli veteran Umno akhirnya keluar parti itu pada bulan Februari yang lalu.
Kata beliau, penubuhan parti itu akan menarik mereka yang mungkin tidak menyokong parti-parti pembangkang sedia ada.
South China Morning Post turut memetik kenyataan bekas
menteri persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, Umno kini semakin
tertekan tetapi ahli-ahli mungkin mengambil sedikit masa untuk melompat
parti.
"[Ahli Umno] malu-malu. Ia akan berlaku tetapi perlahan-lahan. Saya
rasa Najib akan didakwa oleh Amerika Syarikat, dan kemudian kamu akan
lihat orang melompat parti," jelas Zaid.
Malaysiakini sedang cuba untuk menghubungi para pemimpin Umno untuk mengulas mengenai perkara ini.
No comments:
Post a Comment