Setiausaha agung FAM berkata terserah kepada exco
untuk mengikut jejak langkah presiden meninggalkan persatuan bola sepak
itu, atau tidak.
KUALA LUMPUR: “Tunggu saja keputusan Mesyuarat Exco pada 15 Ogos
ini,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk
Hamidin Mohd Amin.
Tanpa mahu mengia atau menafikan spekulasi semua exco FAM akan
meletak jawatan beramai-ramai untuk mengikut jejak presiden, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah, Hamidin berkata ia hak individu
masing-masing.
“Sama ada mereka mahu ikut jejak langkah presiden, saya tidak pasti kerana itu hak individu.
“Mungkin pada 15 Ogos ini mereka akan putuskan. Pada pendapat saya,
kita ini negara demokrasi dan masing-masing ada hak,” katanya kepada
pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah
Kelab Diraja Selangor (RSC) di Bukit Kiara, di sini hari ini.
Tengku Abdullah sebelum ini menyuarakan hasratnya mahu meletak jawatan dalam badan induk sukan bola sepak negara itu.
Hamidin berkata semua barisan Exco yang ada masih boleh memegang jawatan masing-masing sehingga tamat penggal mereka pada 2018.
Katanya, mengikut Perlembagaan FAM yang diiktiraf Pesuruhjaya Sukan,
Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA), mana-mana pemilihan yang ingin dilakukan dalam FAM perlu dibuat
empat tahun sekali.
Beliau berkata menurut Artikel 29 perlembagaan persatuan, mesyuarat
agung luar biasa (EGM) boleh diadakan sekiranya satu per lima anggota
gabungan mengusulkannya atau exco sendiri mahu pemilihan diadakan sama
ada bagi jawatan presiden atau keseluruhannya.
“Jika pemilihan awal mahu diadakan, perlu dinyatakan secara spesifik
tentang apa yang mahu dibincangkan dalam EGM tersebut sama ada ia hanya
pemilihan jawatan presiden atau keseluruhannya, dan tidak boleh
dibincangkan hal lain,” katanya.
Sementara itu, Hamidin berkata mesyuarat agung tahunan (AGM) FAM akan
diadakan pada 15 September ini, untuk membentang dan meluluskan laporan
kewangan dan laporan tahunan sepanjang 2015.
Mengenai formula yang dinyatakan Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin sewaktu pertemuan dengan FAM pada Khamis lepas, Hamidin
berkata ia akan turut dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti.
“Pertemuan bersama menteri tempoh hari hanya satu perjumpaan dan tiada apa-apa perkara yang diputuskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment