Friday, December 2, 2016

Melayu tidak akan hilang kuasa, kata Kit Siang

 | December 2, 2016
Veteran DAP itu menolak dakwaan presiden Umno Najib yang PRU14 menjadi medan pertembungan antara Umno dan DAP, sebaliknya antara BN, Pakatan dan PPBM.
kit-siang-malays
PETALING JAYA: Lim Kit Siang berkata mustahil bagi orang Melayu hilang kuasa politik kerana mereka kaum majoriti di Malaysia selain berkongsi paling banyak kerusi di Parlimen.

Dalam menyangkal dakwaan DAP akan memusnahkan Melayu dan institusi Islam di negara ini apabila ia berkuasa, ketua Parlimen DAP itu menegaskan 70% penggubal undang-undang persekutuan adalah Melayu, manakala kaum Cina hanya merupakan 13% daripada kerusi di Parlimen.

Lim juga berkata pada 2010 jumlah orang Melayu meningkat kepada 55.07%, manakala penduduk Cina menurun kepada 24.34% dan India hanya terdiri 7.35%.
“Jadi bagaimana orang Melayu boleh hilang kuasa politik mereka?
“Apa jua yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sama ada Najib tidak lagi menjadi perdana menteri atau Umno hilang kuasa kerajaan persekutuan, orang Melayu di Malaysia akan terus menguasai politik negara ini,” kata Lim kepada Rocketkini.com, lidah rasmi parti.

Semalam, Najib semasa berucap pada Perhimpunan Agung Umno memberi amaran kepada perwakilan yang DAP akan memusnahkan hak Bumiputera dan institusi yang dikhaskan untuk komuniti itu jika ia berkuasa.
Ini termasuk Mara, Felda, Risda, Felcra dan Teraju, yang katanya menjadi “pupus dan hilang dari muka bumi”.

Lim juga menolak dakwaan Najib yang PRU14 adalah pertembungan antara Umno dan DAP, sebaliknya pertempuran antara parti pemerintah dan Pakatan Harapan serta Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM).
“Ia adalah perlawanan untuk selamatkan Malaysia daripada kleptokrasi, mempertahankan prinsip-prinsip Perlembagaan demi Malaysia yang demokratik dan adil,” portal itu memetik beliau sebagai berkata.

No comments:

Post a Comment