Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan
tersebut dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan peguam Zunar
supaya hakim itu menarik diri
KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi hari ini menarik diri
daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh kartunis,
Zunar bagi mencabar larangan perjalanan keluar negara yang dikenakan
terhadapnya oleh Jabatan Imigresen sejak Oktober tahun lepas.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan tersebut dalam
kamarnya selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya, mewakili
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifklee SM Anwarul Haque, supaya hakim
itu menarik diri.
Latheefa ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memfailkan
permohonan supaya hakim itu menarik diri atas alasan hakim berkenaan
sebelum ini menolak permohonan aktivis, Hishamuddin Md Rais dan anggota
Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee membabitkan isu yang
sama.
Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Rizal Fadzil, yang mewakili Ketua
Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia
sebagai responden, berkata permohonan itu akan didengar di hadapan hakim
yang baharu.
Pada 7 Disember 2016, Zunar, 55, memohon perintah certiorari untuk
membatalkan arahan sekatan perjalanan oleh responden terhadapnya yang
dimaklumkan secara lisan pada 17 Oktober 2016.
Beliau memohon perintah deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang
dikenakan terhadapnya telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh
itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak berperlembagaan, selain memohon
perintah dari mahkamah untuk mengarahkan kesemua responden
membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.
Zunar berkata beliau dihalang oleh pegawai imigresen ketika berada di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)pada 17 Oktober 2016
untuk ke Singapura bagi menghadiri satu forum di sebuah universiti di
sana.
FMT
No comments:
Post a Comment