Orang Asli di beberapa kawasan tidak lagi selamat jika hutan melebihi 5 jam, kata Ab Aziz Yusof
GUA MUSANG: Aktiviti pembalakan untuk tujuan perladangan yang tidak
terkawal di Gua Musang dikenal pasti sebagai antara penyebab utama
banjir lumpur semakin kerap berlaku di jajahan ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof berkata
aktiviti pembalakan berkenaan menyebabkan kawasan bukit mudah terhakis.
“Dahulu, jalan Gua Musang-Lojing ini tak pernah dilanda banjir lumpur
tapi semalam bencana itu berlaku sehingga menyebabkan jalan terpaksa
ditutup selama beberapa jam.
“Kita bimbang perkara tidak diingini akan berlaku pada masa depan
jika kerajaan negeri tidak mengambil serius mengenai banjir lumpur ini,”
katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan banjir di kawasan
berkenaan, hari ini.
Ab Aziz berkata keadaan Orang Asli di beberapa kawasan terutama di
Kampung Jedip di Pos Brooke di sini, juga tidak lagi selamat terutama
jika hujan melebihi 5 jam.
“Hujan berterusan akan menyebabkan paras air sungai meningkat dengan
cepat kerana tiada lagi zon penampan selepas bukit-bukau digondolkan
untuk tujuan pertanian.
“Saya telah beberapa kali bangkitkan perkara ini terutama ketika
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun sehingga kini masih tiada
jalan penyelesaian kukuh yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,”
katanya. FMT
No comments:
Post a Comment