Sunday, July 23, 2017

Tiga beradik diperkosa abang kandung

Sinar Harian
PDRM
SUNGAI PETANI - Seorang abang tergamak menjadikan tiga adik perempuannya sebagai tempat melampiaskan nafsunya di Sungai Layar, di sini.
Perbuatan terkutuk suspek berusia 18 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang berusia lapan tahun memberitahu perbuatan terkutuk abangnya itu kepada ibu mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, kejadian terbaru berlaku pada kira-kira jam 9 pagi semalam, di sebuah rumah kosong bersebelahan rumah keluarga itu.
"Ketika kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun ada bersama di rumah mereka namun tidak menyedari kejadian itu. Mangsa beritahu ibunya bahawa abangnya itu secara paksa  menariknya ke tandas yang berada di luar kawasan rumah.

"Kemudian suspek telah memaksa mangsa melakukan hubungan seks dalam rumah kosong terbabit,” katanya.
Saifi berkata, suspek turut mengugut adiknya supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada ahli keluarga lain sekiranya tidak mahu dipukul.

“Hasil siasatan, sebelum ini dua lagi adik perempuan suspek berusia sembilan dan 14 tahun pernah mengadu kepada ibu mereka berkaitan perbuatan sama dilakukan suspek.
"Bagaimanapun, ibu mereka hanya memberikan amaran kepada suspek supaya tidak mengulangi perkara itu, selain tidak membuat laporan polis sebelum ini kerana menyangka kejadian itu hanya gurauan,” katanya.

Menurutnya, suspek tidak mengakui melakukan perbuatan terkutuk itu malah mendakwa adik-adiknya cuba memfitnah dirinya.
"Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala suspek ditahan dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment