23/2/22
BEIJING: Pihak berkuasa China menahan seorang lelaki yang didakwa merantai isterinya di leher dalam sebuah pondok dan menghukum sekurang-kurangnya 17 pegawai tempatan dalam kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan mengenai kesihatan mental dan pemerdagangan manusia pada bulan lalu, selepas video seorang blogger menunjukkan wanita terbabit dirantai di leher dan dikunci dengan mangga dalam cuaca sejuk di wilayah Jiangsu.
Pihak berkuasa wilayah berkata, wanita itu didapati menghidap skizofrenia dan sudah dijual beberapa kali, sejak 1998 dengan harga 5,000 yuan, selepas diambil dari kampungnya di wilayah Yunnan.
Pegawai berkata, “tindakan khas untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh serta membetulkan pencabulan hak asasi” sedang diambil.
Menurut mereka, wanita itu dikenali sebagai “Xiaohuamei”, yang mungkin nama panggilannya – ialah ibu kepada lapan anak dan sedang dirawat di hospital.
Pegawai tempatan di lokasi beliau ditemui pada mulanya menafikan dakwaan berhubung penculikan dan pemerdagangan manusia, tetapi siasatan peringkat lebih tinggi dilancarkan susulan bantahan awam.
Hasil siasatan mendapati Xiaohuamei dikatakan hilang selepas tinggal dengan seorang lelaki di Jiangsu yang membelinya selama beberapa bulan, dan kemudian dibeli satu pasangan yang mengendalikan sebuah hotel.
Wanita itu dijual semula kepada dua individu lain, sebelum dibeli keluarga suaminya sekarang.
Pihak berkuasa berkata, suaminya yang bernama Dong ditahan semalam bersama dua individu didakwa memperdagangkan manusia.
Siasatan masih diteruskan ke atas enam suspek lain yang didakwa memperdagangkan wanita itu, manakala lapan pegawai tempatan dipecat serta sembilan lagi dijatuhkan pelbagai hukuman.
Kes itu terus mencetuskan kemarahan hari ini, dengan satu hashtag berkaitan tular di Weibo yang menarik 580 juta tontonan sejurus berita mengenai hukuman itu dilaporkan.
“Kredibiliti kerajaan kita telah lama hilang,” kata seorang pengguna mengenai kenyataan terbaharu itu.
“Anda belum tunjukkan bukti kepada kami.”
Pengguna Weibo lain menggesa serbuan ke atas aktiviti pemerdagangan manusia dijalankan di seluruh China.
Dasar satu keluarga seorang anak, yang dilonggarkan Beijing pada 2016, menyebabkan jumlah perempuan berkurangan kerana ibu bapa lebih gemar anak lelaki.
Ketidakseimbangan jantina itu dipercayai mendorong aktiviti pemerdagangan manusia, menurut laporan kongres Amerika Syarikat. AFP
No comments:
Post a Comment