Tunku Ismail Sultan Ibrahim
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
melontarkan cabaran kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee untuk
berbahas mengenai kemerosotan pasukan bola sepak tanah air.
Turut dicabar berada di pentas sama ialah Pengarah Pembangunan Bola
Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola
Sepak Malaysia B Sathianathan.
Menerusi kemas kini di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger,
Tunku Ismail turut menggesa Astro untuk mengadakan siaran langsung di
televisyen tentang sesi perbahasan itu bagi membicarakan tentang
prestasi buruk pasukan bola sepak kebangsaan serta tindakan selanjutnya
yang perlu dilaksanakan selepas ini.
“Juga dalam program ini, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk
menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka
mahu,”katanya.
Sebelum ini, Tunku Ismail dilihat tidak bersetuju dengan kenyataan
daripada Khairy yang mengatakan bahawa pemain bola sepak tempatan kurang
berkualiti.
Tunku Ismail berkata, suara peminat bola sepak tanah air perlu menjadi
keutamaan kerana mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran tentang
masalah sebenar yang dihadapi oleh pasukan bola sepak tanah air
“Saya individu yang telus dan jujur. Ini adalah satu cabaran daripada
saya. Saya bukan ahli politik dan saya tidak memerlukan sebarang undi.
“Saya lakukan ini kerana saya sudah penat dan bosan dengan pembohongan
serta perkara-perkara yang cuba diselindungkan,” titah Tunku Ismail
lagi.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata pihaknya bersetuju pemain bola
sepak tempatan kurang berkualiti namun dalam hal ini mereka tidak
sewajarnya disalahkan.
“Saya adalah seorang anggota tentera dan saya dilatih untuk menggalas
tanggungjawab. Jika mana-mana anggota tentera kita tidak layak untuk
menjalankan tugas mereka, siapakah yang bersalah? Ia adalah kesalahan
kita.
“Jika pemain bola sepak kita kurang kualiti, siapa yang bersalah? Ia
adalah sistem dalam persatuan bola sepak dan latihan dari jurulatih
kita. Ianya mudah,”katanya.
No comments:
Post a Comment