Seminggu lalu Lenggeng dikejutkan dengan berita ADUNnya kena penjara dan denda kerana rasuah. Di Seremban pula ada kes serangan asid. Di Port Dikson ? Pusat Latihan Polis di Port Dickson dilanda wabak Adenovirus yang boleh membawa maut.
Bala…bala…
Ini laporan terbaru : Seramai 109 tahanan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.
Menurut laporan , sebahagian besar pendatang yang melarikan diri dari depot itu terdiri daripada rakyat Myanmar dan hanya sebilangan kecil dari Bangladesh, Nepal, Iran, Vietnam dan Thailand.
Mereka membakar sebuah bangunan dan merusuh sebelum melarikan diri pada 9.45 malam Isnin 4 April.
Adakah ini bala yang diturunkan Allah atau pun kebetulan ?
Depot Lenggeng ini seperti juga Depot Kemayan yang dibina di kawasan ladang kelapa sawit. Sebelum menuju ke tempat lain, tahanan itu akan bersembunyi di kawasan ladang. Walau pun dapat ditangkap tetapi tak dapat diberkas kesemuanya kembali.
Laporan media memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan bahawa perusuh telah membakar sebuah bangunan tahanan dalam depot itu dan merempuh pagar 10 meter dari blok yang terbakar itu untuk melarikan diri ke dalam satu kebun kelapa sawit.
"Kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat bagaimana mereka memperoleh api untuk memulakan kebakaran," katanya kepada pemberita.
Polis yakin tahanan akan dapat ditangkap semula walau pun tidak semua. Tahanan hanya mampu bersembunyi di dalam hutan yang gelap dan pada waktu siang, sekatan jalan raya, rondaan kereta polis serta tinjauan unit udara akan menghalang mereka mendapatkan bantuan pengangkutan awam.
Buat masa ini depot itu dikawal oleh RELA. Pegawai Imigresen di Depot itu bekerja sepanjang malam untuk menangkap semula tahanan itu. Khabarnya ramai tahanan telah dapat ditangkap semula. Tahniah
No comments:
Post a Comment