SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala
lebih 40 lagi cedera apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini. Penyebab nahas berlaku dikatakan bermula dengan sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan. Bas ekspres yang terbabas itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang.
Senarai mereka yang terbunuh dalam nahas ngeri di simpang ampat
Pemandu bas ekspres Delima :
1. R Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar;
Penumpang bas ekspres Delima : -
2. Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim
3. Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas
4. Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar
5. Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana
6. Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga.
Warga Myanmar yang kenderaan yang mereka naiki belum disahkan :
7. Pau Khan Tual, 21;
8. Kam Khaw Tual, 28; dan
9. Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui)
Pemandu van:
10. Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat;
Warga tempatan yang belum disahkan kenderaan yang dinaiki:
11. Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan
12. Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52
Sebuah lagi bas, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres tadi. Kemalangan dahsyat ini menyebabkan beribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam. Pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat. Sehingga pukul 11 malam kerja-kerja menyelamat masih dijalankan .
Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.
Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun. Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau. Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.
Operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.
No comments:
Post a Comment