SHAH ALAM – Seorang wanita, warga India, Fazila Bee Abdul Kareem, 64 tahun menangis setelah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana mengedar dadah.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadapnya selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
Fazila, , didapati bersalah mengedar 2,925 gram ketamin di kaunter pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kira-kira 2.30 petang, 13 Februari 2009.
Pendakwaan terhadap Fazila mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Noor Azian dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak menerima keterangan Fazila yang mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.
”Kalau nak kerja mesti dah tahu tempat hendak kerja, nama majikan dan ada permit. Bagaimanapun pasport dan visa Fazila menunjukkan dia datang ke negara ini sebagai pelancong,” katanya.
Selain itu, Noor Azian berkata, keterampilan dan usia Fazila menunjukkan umur wanita itu seperti lebih 64 tahun.
“Mustahil ada orang yang nak ambil dia kerja sebagai pembantu rumah. Mahkamah mendapati keterangan itu tidak masuk akal,” katanya.
Noor Azian menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Fazila.
Di peringkat awal Fazila tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Selepas dia keluar dari kandang tertuduh dan diterangkan peguamnya, K A Ramu, mengenai hukuman mati itu, Fazila mula dilihat menangis.
No comments:
Post a Comment