Tuesday, June 21, 2011

PERKASA perlu belajar


NGO, Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) menggesa semua pihak supaya bersama menjayakan perhimpunan aman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Timbalan Presiden MAP, Zulkifly Ibrahim menyaran PERKASA supaya belajar memahami perlembagaan persekutuan yang membenarkan perhimpunan dan kebebasan bersuara.

Beliau berkata tindakan Pemuda Umno pula kononnya untuk mempertahan SPR merupakan suatu tindakan yang dangkal.

“Pemuda Umno jangan terus mewarisi sikap pemimpin dan ahli-ahli Umno yang sentiasa mempertahankan kemungkaran dan penyelewengan.

“Sebaliknya Khairy dan pemuda Umno hendaklah menunjukkan sikap yang berani menegur kelemahan kerajaan termasuk SPR sekiranya pemuda Umno berhasrat menjadi pemimpin pelapis di negara ini,” katanya.

Menurut Zulkifly, semua NGO yang membuat laporan polis untuk menyekat perhimpunan BERSIH juga hendaklah mempunyai kematangan dalam tindakan mereka.

“NGO-NGO berkenaan jangan menjadi budak suruhan kepada Umno dan pemerintah sebaliknya secara terbuka mereka wajar menghormati hak asasi warga negara Malaysia untuk berhimpun secara aman.

“Semua pihak diseru supaya menjayakan perhimpunan Bersih 2.0 ini dengan semangat muafakat dan menunjukkan sikap bertamadun demi rakyat dan kelangsungan maruah negara di mata dunia,” katanya. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment