Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa arahan penarikan video 'Undilah' adalah kerana pengumuman khidmat awam (PKA) tersebut masih belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem untuk disiarkan di televisyen.
Menurut kenyataan SKMM hari ini, arahan tersebut dibuat hasil pemantauan pematuhan secara rutin mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang dijalankan SKMM ke atas video karya pemuzik Pete Teo itu.
"Di dalam kes pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo dan atas hasil pemantauan pematuhan secara rutin yang dibuat oleh SKMM, di dapati PKA tersebut belum mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem untuk disiarkan di televisyen.
"Oleh itu PKA tersebut tidak sepatutnya disiarkan di televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan," kata SKMM.
Menurut SKMM, demikian juga di bawah AKM 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.
"Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan PKA tersebut," kata kenyataan itu.
Antara yang muncul dalam video yang menampilkan 40 personaliti itu adalah ahli-ahli politik dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, artis tempatan dan ahli sukan.
Video selama 4.38 minit yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lepas menyeru rakyat untuk keluar mengundi.
No comments:
Post a Comment