Thursday, October 20, 2011

Pembangunan Islam bukan agenda utama Umno



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ulamak PAS kecewa kerana Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini nampaknya tidak menjadikan pembangunan Islam sebagai agenda utama negara sedangkan Islam adalah agama rasmi dalam perlembagaan.

Demikian kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali ketika mengulas kedudukan Islam di negara ini di bawah Umno BN yang tidak menjadikan Islam sebagai agenda utama negara.
“Kalau kita lihat secara lebih teliti dalam bajet yang dibentangkan oleh Najib, kita mendapati bahawa Umno di bawah pimpinan Najib tidak meletakkan Islam sebagai agenda utama negara sedangkan Islam adalah agama rasmi negara, tak ada apa yang istimewa untuk peruntukan pembangunan Islam,” katanya.
Katanya lagi, permasalahan sosial seperti anak luar nikah, buang bayi, dadah dan seumpamanya seolah-olah tidak dipandang penting dalam bajet kali ini.
Tambahnya, tiada peruntukan yang khusus dan istimewa diberikan kepada institusi tertentu untuk menangani masalah itu.
“Kita tidak mahu Islam hanya dijadikan agenda untk mengaut keuntungan politik semata-mata, kita tidak mahu Islam menjadi seperti pepatah Melayu ‘habis manis sepah dibuang’, isu Islam hanya diperbesarkan apabila ‘nyawa’ terancam atau nazak sahaja.” ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment