KUALA LUMPUR, 9 Nov: Haji mabrur yang dijanjikan oleh Rasulullah ialah "haji mabrur
tiada balasan lain di sisi Allah, melainkan syurga.” Inilah cita- cita yang mendorong
setiap umat Islam menunaikan haji selain ianya sebagai rukun Islam. Haji mabrur yang mengubah amalan seseorang dari sebelum mengerjakan haji
dan selepasnya, dengan kata lain, mereka yang memperolehi haji mabrur dapat
dilihat perubahan amalan sehariannya, daripada yang kurang baik kepada baik
dan lebih baik.
“PAS mendoakan agar seluruh jemaah haji termasuk Perdana Menteri
Datuk Seri Haji Najib Razak dan isteri, Datin Seri Hajah Rosmah Mansor
mendapat haji mabrur, kerana itulah yang menjadi cita-cita setiap orang
yang mengerjakan haji,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat,
Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat menaruh harapan
tinggi dan menanti perubahan yang bakal dihayati oleh PM dan isteri
selepas mendapat haji mabrur dalam melaksanakan amanah memimpin
negara ini. Antara agenda besar yang rakyat ingin lihat hasil daripada mendapat haji mabrur,
kata beliau, sudah tentu ialah tindakan susulan PM terhadap banyak
penyelewengan samada daripada kroni Umno, serta pelbagai pihak lain
yang terlibat yang memperolehi pelbagai projek seperti yang ditegur oleh
Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya. “Rakyat benar-benar kecewa setiap tahun bilamana teguran Laporan Audit Negara
langsung tidak menjadi bekas bagi kerajaan BN dalam usaha untuk memperbaiki
pengurusan kewangan negara.
Kalau tahun lalu, mungkinlah masih tak sedar kerana masa tersebut,
PM tak pergi haji lagi.
Namun tahun ini, sudah tentu tidak akan sama, kerana PM yang baru balik haji
dengan semangat melontar jumrah sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri,
sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan samada dalaman dan luaran,
kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur,” kata Tuan Ibrahim yang juga
Pesuruhjaya PAS Pahang. Lebih besar dari itu, kata Tuan Ibrahim ialah keyakinan rakyat pada PM yang
dapat haji mabrur untuk mengadakan pilihanraya hanya setelah segala
penyelewengan sistem pilihanraya dapat diperbaiki.
“Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan
pilihanraya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih? Bahkan, demi membuktikan kesan haji mabrur, PM diyakini akan mencadangkan
agar celup jari dilaksanakan dalam PRU akan datang untuk menghalang
penyelewengan dalam bentuk undi hantu dan undi berganda. Kesemua ini
petanda haji mabrur, selain amalan peribadi yang bertambah baik dengan
amalan tahajud, zikrullah dan munajat berterusan,” tambah beliau.
Pada Hajah Rosmah pula, Tuan Ibrahim berkata rakyat berharap dapat menyaksikan
perubahan besar dari sudut kesederhanaan dalam kehidupan seharian beliau. “Diyakini selepas pulang kali ini, diharap beliau tidak terpalit lagi dengan cerita
beg tangan berjenama mahal, rantai mutiara, cincin mahal yang menjadi lambang
persepsi rakyat terhadap pemborosan beliau, kerana semua ini diyakini akan
dapat dikikis dengan haji mabrur,” kata beliau.
Yang lebih penting, menurut Tuan Ibrahim ialah ketidak-sabaran rakyat yang
menanti dengan penuh debar melihat keterampilan wajah baru isteri PM
dengan bertudung sepanjang masa di luar rumah, selaras dengan kesan
haji mabrur dan juga mungkin tiada lagi kedengaran desas desus campurtangan
beliau dalam dalam pentadbiran negara. “Perubahan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksana
kerana sepanjang berada di Mekah dan Madinah, beliau sentiasa bertudung
lingtup menutup aurat semasa menjalankan ibadah haji. Kalau semua ini berlaku, jangan terkejut kalau ada rakyat yang cukur kepala,
bayar nazar atau ada kambing yang kena sembelih sebagai tanda kesyukuran.
Namun, jangan sembelih dahulu, sehingga kita dapat lihat tanda-tanda
haji mabrur itu berlaku,” saran beliau.
Harakahdaily |
No comments:
Post a Comment