Monday, November 28, 2011

NFC tak kena-mengena dengan Wanita Umno, kata pemimpin Wanita UMNO

November 28, 2011
KUALA LUMPUR, 28 Nov — Pemimpin-pemimpin Wanita Umno sepakat berkata skandal projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak kena-mengena dengan sayap itu.
Beberapa pemimpin yang ditemui menegaskan pergerakan Wanita Umno tidak sama sekali terjejas dengan isu skandal tersebut.
Menurut Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim, skandal tersebut tidak menjejaskan pergerakan tersebut.
“Kami tidak ada masa untuk memikirkan isu itu kerana yang penting kami bekerja kuat untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum,” katanya mengulas kenyataan Shahrizat, Ketua Wanita Umno,  yang menegaskan beliau akan tetap menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok.
Sambil menganggap isu berkenaan yang tercetus susulan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai asam garam dalam kehidupan ahli politik, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia tidak mengganggu kepemimpinan beliau dalam pergerakan itu.
Ia dilihat sebagai kontroversi terbesar sejak menerajui Wanita Umno sejak 2009.

Bagi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Jainab Ahmad, skandal itu tidak memberi kesan kepada Wanita Umno kerana ia bukanlah urusan Shahrizat sebaliknya hal perniagaan suaminya.

“Adat berniaga ada untung ada rugi. Ia adalah perniagaan suami Shahrizat dan Shahrizat tidak campur tangan dalam perniagaan suaminya itu, jadi kenapa kita mesti terperangkap dengan dakyah pembangkang?” katanya.
Katanya, Shahrizat (gambar) sudah banyak membantu wanita Malaysia dengan program terbaru melancarkan teksi yang dipandu oleh wanita untuk wanita.

“Shahrizat tidak bersalah, jadi saya kira ia tidak menjejaskan peluang BN untuk menang dalam pilihan raya kelak,” katanya lagi.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita Umno Sabah menambah, Wanita Umno semakin kuat kini kerana selepas memenangi jawatan ketua sayap itu pada 2009, Shahrizat telah menyatupadukan para penyokongnya dengan pengikut Tan Sri Rafidah Aziz yang ditewaskannya.

“Beliau tidak pilih kasih. Semua ahli Wanita tidak kira orang beliau atau orang Rafidah, beliau beri layanan yang adil,” katanya lagi.
Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Rohani Abdullah bersetuju bahawa skandal itu tidak menjejaskan BN kerana bukannya Shahrizat terlibat dalam menyalahgunakan kuasanya untuk memberi projek itu kepada suaminya.
Katanya, Wanita Umno tidak berminat dengan isu ini kerana ia lebih berminat untuk fokus  terhadap pilihan raya umum ke-13.

No comments:

Post a Comment