Sunday, November 27, 2011

Raja Guli Berumur 8 tahun

 Harli Jordean (Pic: www.marbleking.co.uk)
 myMetro

HARLI Jordean ternyata bukan seperti kanak-kanak berusia lapan tahun lain.
Ketika rakan sebayanya leka bermain komputer, Jordean memilih untuk berhubung dengan pembekal, membeli stok dan menguruskan pesanan daripada empayar perniagaan melalui Internet.

Produk didagangkan - guli. Ahli perniagaan cilik dari London itu mengendalikan jual beli guli melalui laman sesawang marbleking.co.uk sejak dua tahun lalu.
Melalui dunia maya, Jordean menawarkan pelbagai jenis guli, daripada kategori biasa sehingga set guli edisi terhad Duke of York bernilai £599 (RM2,989) setiap satu.

Syarikat Jordean mencatatkan nilai dagangan lebih puluhan ribu ringgit setiap tahun hasil pesanan pelanggan yang terdiri daripada peminat setempat atau luar negara.

Dari semasa ke semasa, Jordean turut melayan pesanan pelanggan dari Amerika Syarikat.

Disebabkan kesibukan, Jordean terpaksa menggaji ibu dan dua abangnya untuk menguruskan permintaan yang semakin bertambah.

Namun, di sebalik sambutan menggalakkan itu, pelajar sekolah rendah itu kekal profesional dan mempunyai perancangan masa depan.
Berada di tempat teratas impiannya ialah mencontohi ahli perniagaan terkemuka dan penasihat politik Britain, Sir Alan Sugar.

Seperti Sugar, Jordean berangan-angan membuka dan mengembangkan firma perniagaan sendiri.

“Saya mahu membina rangkaian kedai di serata Britain sehingga ia menjadi pusat penjualan mainan terbesar di dunia.

“Bagaimanapun, berbanding kedai mainan lain, saya mahukan kedai itu hanya menjual guli,” katanya. Menurut Jordean, rakannya juga gembira dengan kejayaan bisnesnya walaupun pada peringkat awal mereka tidak mempercayainya.

Kini, kata Jordean, mereka adalah antara pelanggan terbaik bagi syarikatnya.

“Saya memang sukakan guli dan sangat gembira memiliki syarikat yang menjual guli,” katanya.

Mengenai rahsia kejayaannya, Jordean berkata, dia percaya kepada prinsip pengagihan tugas.

“Saya mahu ada orang lain turut menyumbang kepada perniagaan ini kerana jika ada sesuatu yang tidak kena, ada pihak lain boleh memikul tanggungjawab bersama,” katanya.

Permulaan empayar bisnes Jordean berlaku secara kebetulan apabila dia berjual beli guli dengan rakannya di taman permainan.

Sama seperti perniagaan lain, pada satu ketika dia berhadapan dengan halangan apabila ada kanak-kanak lebih dewasa daripadanya mengambil semua guli yang ada.

Jordean terpaksa meminta bantuan ibunya, Tina.

Anak-beranak itu kemudian melayari Internet untuk mendapatkan guli lain.

Berdasarkan pengalaman membeli guli di Internet itu, Jordean mendapat ilham dan merayu supaya ibunya membenarkan dia memulakan bisnes melalui laman sesawang sendiri.

Dalam tempoh beberapa bulan saja, Tina, 51, terkejut apabila mendapati laman sesawang itu dibanjiri pesanan dari seluruh dunia.

“Dan Jordean mengendalikan pesanan itu sendiri,” katanya.

Tina berkata, keghairahan Jordean kepada guli bermula sejak dia berusia enam tahun.

Pernah beberapa ketika, kata Tina, Jordean tidur dengan longgokan guli berada di bawah bantalnya.

“Perkara terakhir yang diperkatakan sebelum tidur setiap hari ialah guli dan ia juga menjadi topik pertama ditanya keesokan harinya,” katanya.

Disebabkan itu, kata Tina, Jordean mula digelar Raja Guli.

Mengenai aktiviti perniagaan Jordean, Tina berkata, dia tidak pernah menghalang, malah memberikan galakan.

“Ia mungkin menjadi cara terbaik mengajar Jordean kemahiran hidup serta menunjukkan rasa tanggungjawab,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia membantu Jordean membuka laman sesawang bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Disebabkan kemahiran yang ada pada Jordean, laman sesawang itu menjadi begitu popular dan marbleking.co.uk dikenali di seluruh dunia.

“Boleh dikatakan Jordean menguruskan sendiri semua aspek perniagaannya, termasuk pembelian, simpanan, pembungkusan dan penghantaran.

“Tugas saya hanyalah bagi aspek perakaunan dan mengimbangi ideanya yang kadangkala agak keterlaluan,” katanya.

Disebabkan sambutan hangat itu, kini Jordean bercadang mengeluarkan guli sendiri di China dan menjualnya di seluruh dunia.

Kata Tina, Jordean memang ada banyak idea sendiri bagi mengembangkan perniagaannya.

“Kadang-kadang ideanya begitu besar dan kami terpaksa menasihatinya supaya lebih realistik,” katanya

No comments:

Post a Comment