KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyerahkan
'Amanat Tun Abdul Razak' kepada Perdana Menteri berhubung hak negeri
itu mendapat bayaran 5 peratus royalti petroleum.
Penyerahan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum
Kelantan, Datuk Husam Musa kepada wakil perdana menteri,
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari ini.
Turut serta dalam rombongan menyerahkan amanat itu, lebih 30 orang
terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ahli-ahli
parlimen Kelantan yang masing-masing membawa poster amanat
tersebut termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
'Amanat' itu merupakan jawapan Tun Abdul Razak selaku perdana menteri
terhadap pertanyaan Lim Kit Siang di dewan rakyat pada tanggal
12 November 1975 yang berbunyi;
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai
petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore)
atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh
PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontarktornya,".
Menurut Husam yang juga exco negeri Kelantan, penyerahan itu dibuat
sempena merayakan ulang tahun ke-36 ucapan bekas perdana menteri ke-2 itu.
Ianya juga sebagai penerusan tuntutan kerajaan negeri kepada pusat,
agar membayar wang 5 peratus yang sekian lama dinafikan itu.
"Kami berharap dengan pulangnya haji Datuk Seri (Najib Razak) Perdana
Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini adalah pesanan
Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media bersama
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi parlimen selepas itu.
Selain amanat Tun Razak itu, satu surat
mengandungi bukti jawapan menteri di Dewan
Negara juga turut diserahkan kepada
perdana menteri.
Ianya termasuk jawapan menteri tidak
berpotfolio, Tan Sri Chon Hon Nyan terhadap
soalan Senator Raja Nong Chik Raja Ishak
pada 7 Januari 1977.
Jawapan tersebut antara lain berbunyi;
"Dalam Gerakan mencarigali minyak ini di dalam kawasan Continental Shelf,
hak itu sudahpun diberikan kepada PETRONAS dan PETRONAS sudahpun
mengadakan perjanjian dengan negeri-negeri yang berdekatan dengan
dasar laut itu, sebagaimana saya katakan tadi supaya royalti 10% itu dibahagi
kepada dua pihak".
Satu lagi bukti adalah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Kasitah Gaddam pada 4 April 1989 terhadap soalan Senator
Tuan Hassan Harun yang berbunyi;
"Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan negeri
Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti
sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana
yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".
Telaga Bumi dan Suria
Selain itu, Kelantan juga menuntut pengeluaran gas di Telaga Bumi dan
Telaga Suria di kawasan bertindih dengan Terengganu yang beroperasi
April lalu juga didaratkan di negeri itu.
Setakat kini katanya, Petronas pada 24 September lalu telah membuat
pengumuman akan mendaratkan gas tersebut di Kerteh iaitu sepanjang
2000 kilometer pipeline di lautan.
"Kami sangat berharap gas ini dapat didaratkan di Kelantan.
"Kelantan telah menyediakan satu zon petroleum industri di Bachok seluas
2000 ekar dan saya telah menulis surat kepada presiden Petronas supaya
isu pendaratan gas daripada Bumi dan Suria ini dilakukan di Kelantan," kata Husam.
No comments:
Post a Comment