| Print | |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 14 Nov: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengucapkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin, ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno yang tampil cuba memberi beberapa penerangan mengenai kemelut penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan yang semakin memualkan rakyat. “Sejak PKR mendedahkan perkara ini, beliau menjadi satu-satunya pimpinan Umno yang paling lantang membela NFC. “Beliau juga dengan sukarela menjawab pelbagai persoalan walaupun beliau tidak ada apa-apa portfolio di dalam kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan. Malah, beliau berkata, Khairy melantik diri sendiri sebagai pegawai media dan jurucakap rasmi kepada NFC sejak kebelakangan ini. “Kalaulah beliau benar-benar dilantik oleh NFC untuk bercakap bagi pihak mereka, maka NFC telah melantik seorang jurucakap yang memberikan jawapan yang paling dangkal berhubung skandal pembelian kondominium mewah menggunakan dana rakyat,” ujarnya. Ujarnya, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa pembelian tersebut adalah satu strategi pelaburan untuk mendapatkan keuntungan sementara menunggu fasa projek yang seterusnya. Sehubungan itu, beliau ingin mengambil kesempatan hari ini untuk membidas strategi pelaburan yang kurang pintar ini dari dua aspek, iaitu: Prinsip tata kelola yang baik (principles of good corporate governance) di mana sebarang penggunaan dana yang dipinjam (apatah lagi dana rakyat) bagi tujuan selain dari tujuan asal pinjaman dikira bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik. Tambahnya, di dalam sesebuah entiti korporat yang baik, sebarang keputusan pelaburan akan dibuat melalui proses pemantauan yang ketat mengikut kerangka mengawal risiko (risk mitigation framework). “Bagi tujuan mendapat pulangan dari dana yang belum digunakan, entiti korporat terbesar di dunia selalunya membuat pelaburan jangka pendek di dalam instrumen-instrumen cair (liquid instruments) seperti pasaran mata wang (money market), pasaran ekuiti (ekuiti market) atau disimpan di dalam deposit tetap jangka pendek,” jelasnya. Katanya lagi, bekas majikannya, Petronas mempunyai ratusan bilion ringgit wang simpanan yang menunggu masa untuk digunakan di dalam projek-projek pada satu-satu masa. “Petronas tidak pula menggunakan wang ini untuk melabur di dalam aset hartanah seperti yang disebut oleh Khairy Jamaluddin kerana ia satu tindakan yang tidak bijak dan melanggar prinsip tata kelola yang baik,” jelasnya. Perkara kedua, katanya ialah pasaran hartanah mewah di mana kalau pun NFC benar-benar mahu melabur untuk mendapat pulangan, pelaburan sebanyak RM9.8 juta membeli hartanah kondominium mewah adalah keputusan pelaburan yang salah. “Pasaran hartanah mewah, terutamanya kondominium mewah seperti yang dibeli NFC dijangkakan akan mengalami penurunan harga bermula tahun 2010 hingga beberapa tahun akan datang,” katanya. Menurutnya, statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan bahawa pada akhir 2010, terdapat sebanyak 66,328 unit kondominium mewah di seluruh Malaysia yang masih belum dijual. Tambahnya lagi, statistik terkini JPPH iaitu Laporan Status Pasaran Harta Tanah: Harta Tanah Siap Dibina Tidak Terjual Q3 2011 menunjukkan bagi suku ketiga 2011 sahaja, 20% dari kondominium mewah berharga lebih dari RM1 juta masih belum terjual walaupun telah siap dibina. Jumlah harga kondominium mewah di Malaysia yang siap dibina tetapi tidak dibeli bagi tempoh 3 bulan di antara Julai hingga September 2011 adalah RM549 juta. “Ini menyokong laporan terbaru oleh pakar hartanah antarabangsa DTZ Research bertarikh 10 November 2011 bahawa ‘risiko harga menurun bagi hartanah mewah akan terus meningkat’ dan ‘lambakan hartanah mewah akan menurunkan kadar sewa bagi pasaran jenis ini’,” katanya. Data-data itu, katanya secara jelas membidas alasan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin. Ujarnya, jika pelaburan NMLC membeli One Menerung adalah untuk mendapat untung kerana kenaikan harga, ia sukar untuk berlaku kerana pasaran hartanah mewah sedang mengalami penurunan akibat lambakan unit-unit tidak terjual. Katanya, jika pelaburan NMLC bertujuan mendapatkan sewa seperti yang didakwa, sewanya tidak padan dengan penyelewengan wang rakyat kerana kadar sewa yang semakin rendah. “Khairy telah banyak membuat kenyataan di Twitter, media baru, akhbar dan Parlimen yang menyerang saya mengenai pendedahan NFC. Setiap kenyataan akhbar atau rencana saya akan dijawab oleh beliau. “Saya langsung tidak terfikir skandal ini menarik minat beliau kerana ia membabitkan Ketua Wanita Umno, bukan Ketua Pemuda Umno,” katanya lagi. Oleh kerana ada pertembungan yang sihat di antara pimpinan muda PKR dan Umno bersabit isu NFC ini, setelah dua minggu berdebat di media beliau berpendapat sudah sampai masanya perbahasan mengenai NFC itu diadakan secara terbuka dan melibatkan orang ramai yang juga mempunyai banyak soalan. “Saya menjemput Khairy Jamaluddin untuk berbahas mengenai isu NFC dengan saya pada bila-bila masa bermula dari hari ini dalam satu majlis terbuka yang melibatkan orang ramai. “Ini jalan terbaik untuk kita merungkai kekusutan skandal NFC dan pada masa yang sama merintis politik baru orang muda,” ujarnya. |
No comments:
Post a Comment