Friday, December 30, 2011

Pemuda PAS sedia bantu perjuangan Selamatkan Felda



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Dewan Pemuda PAS menyokong penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diketuai oleh Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bersama 11 lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata masalah yang berkait dengan Felda bukanlah satu permasalah yang baru didengari.
Terbaru, katanya adalah apabila Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di dalam satu kenyataannya bertarikh 19 Oktober 2011 menyatakan niatnya untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).
“Tindakan ini nyata mendapat bantahan daripada sebahagian anak-anak Felda yang prihatin,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Anak, Mazlan Aliman pada 16 Disember lalu yang menasihatkan agar penyenaraian FGVH itu jangan disokong secara membuta tuli tetapi perlu didasari dengan pengetahuan dan bukan sentimen.
Seruan daripada Anak disahut oleh beberapa NGO yang lain antaranya Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).
Semua NGO-NGO ini bersepakat dan akhirnya menubuhkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) semalam.
Pemuda PAS, kata Khairul Faizi diberitahu matlamat utama GSF itu adalah untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga dimaklumkan usaha untuk menyenaraikan FGVH ke BSKL itu bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka.
Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong penubuhan GSF itu dan akan bersama GSF memperjuangkan hak peneroka.
Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga membantah penyenaraian FGVH ke BSKL sekiranya ianya akan memberikan kerugian kepada peneroka.

DPPM, ujarnya berpendapat penyenaraian dalam suasana ketidaktentuan pasaran pada suku pertama 2012 adalah amat berisiko dan penyerahan aset peneroka itu tidak akan menguntungkan peneroka buat jangka masa panjang.
“Keadaan turun-naik pasaran saham yang tidak menentu memungkinkan penyenaraian ini tidak memberi pulangan laba seperti yang diharapkan,” ujarnya.

Tambahnya, DPPM percaya Felda mampu diperkukuh melalui pengurusan yang lebih efisien tanpa perlu campur tangan politik demi kebajikan peneroka Felda.
“DPPM  bersedia menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membantu perjuangan GSF ini demi menghormati amanat asal penubuhan Felda oleh Tun Razak yang nampaknya telah dikhianati oleh anak beliau sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
 

No comments:

Post a Comment