Wednesday, December 7, 2011

Tugas SPR bukan sekadar bersih daftar pemilih



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 7 Dis: Biarpun menyambut baik jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan nama pemilih yang sudah meninggal, namun bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan suruhanjaya itu.

Ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata, tindakan kecil SPR itu hanya salah satu daripada tuntutan banyak pihak yang mahu melihat proses pilihan raya di negara ini berlangsung dengan bebas dan adil.

"Masih banyak perkara yang perlu dilakukan termasuklah membersihkan daftar pemilih dari nama yang bertindan atau yang memiliki nama dan nombor kad pengenalan hampir serupa dan mencurigakan, membersihkan senarai nama yang berkod 71 dimana jumlahnya yang terlalu ramai dan mencurigakan tanpa klasifikasi yang jelas menunjukan maklumat pemilih yang tepat, membersihkan senarai nama pemilih yang terdapat di dalam dua daftar iaitu daftar pemilih biasa dan satu lagi tersenarai sebagai pengundi pos," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jaminan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar bahawa daftar pemilih yang akan digunakan oleh suruhanjaya itudalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang adalah daftar pilihan raya yang bersih.

Malah katanya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membersihkan nama mereka yang sudah meninggal dunia.

Mengulas lanjut beliau berkata, SPR juga mestilah turut sama memberi jaminan mereka untuk melakukan pembersihan pada sistem dan kaedah pengendalian pilihanraya agar tidak menimbulkan kesangsian dan kecurigaan ketara.

Ianya sekaligus menjamin ketelusan dan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.

"Antaranya penggunaan dakwat kekal yang dituntut oleh rakyat bagi memastikan pengundian berlangsung dengan telus dan meyakinkan, pemansuhan undi pos," katanya lagi.

Tanggungjawab memastikan berlangsung satu pilihanraya yang baik, adil dan telus katanya tidak sahaja terletak pada bahu SPR atau JPN tetapi juga kerajaan yang memerintah mesti mempunyai komitmen yang tinggi dan meyakinkan dengan satu tindakan yang benar-benar berkesan seperti
membenarkan semua parti politik yang menyertai pilihanraya berkempen menggunakan televisyen sebagaimana yang dinikmati hanya oleh Umno dan
BN sebelum ini.

"Pilihanraya bukan sekadar daftar pemilih.

"Pilihanraya yang adil dan telus bermula dengan kebebasan parti politik untuk berkempen tanpa dikekang oleh peraturan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan semangat demokrasi yang dianut oleh Umno dan BN sendiri seperti RUU Perhimpunan Aman, AUKU bagi golongan mahasiswa, [walaupun telah dipinda beberapa perkara tetapi masih terdapat beberapa perkara yang masih ditakuk lama.] Akta Polis, Akta Rahsia Rasmi, Akta Cetak dan lain - lain yang tidak menepati semangat demokrasi apatah lagi perkara yang bertentangan dan bercanggah dengan syariat Islamiah seperti penipuan, sogokan, ugutan, tekanan dan 1001 perkara yang negatif," katanya.

No comments:

Post a Comment