PUTRAJAYA - Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Md. Saberi Md. Salleh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara setahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan mengesahkan invois palsu ditolak.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan bekas profesor itu mempunyai niat untuk mengelirukan sedangkan dia tahu peralatan sukan itu tidak dibekalkan kepada universiti berkenaan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki menolak rayuan Md. Saberi, 62, bagi mengetepikan sabitan terhadapnya. Md. Saberi ialah bekas profesor di UiTM.
Bagaimanapun, panel itu membenarkan rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengurangkannya kepada setahun.
Dalam penghakimannya, Hakim Sulaiman berkata, hukuman penjara tiga tahun terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama Md. Saberi.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh yang membayar denda itu.
Sementara itu, panel tersebut melepas serta membebaskan seorang ahli perniagaan wanita, Zaleha Abd. Rahman, 52, setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM10,000 kerana bersubahat dengan Md. Saberi.
Hakim Sulaiman memutuskan pendakwaan gagal membuktikan Zaleha, pemilik syarikat pembekal barangan sukan, mempunyai niat dan pengetahuan bahawa Md. Saberi hendak mengelirukan universiti itu. KOSMO
No comments:
Post a Comment