Sunday, January 1, 2012

Empat individu cacat mental dikurung dalam ‘neraka’

  metahad@hmetro.com.my
DAYUS dan tidak berperikemanusian! Begitu digambarkan kekejaman seorang wanita, Linda Ann Weston, 51, yang sanggup mengurung empat individu yang cacat mental di sebuah bilik bahagian bawah tanah pangsapuri kediamannya yang terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat , sejak 2001.
Mangsa terbabit ialah Herbert Knowles, Tamara Breeden, Derwin McLemire dan Edwin Sanabria, masing-masing berusia antara 29 hingga 41 tahun. Semua mangsa ini diculik serta tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan suspek.


Linda mengurung dan melayan mereka seperti binatang, semata-mata untuk meraih pendapatan daripada skim bantuan milik orang cacat daripada agensi berkaitan dan suspek menerima RM2,146 sebulan daripada setiap mangsa yang dikurungnya.

Bagaimanapun, kegiatan suspek ini dihidu Polis Philadelphia pada 15 Oktober lalu selepas memperoleh maklumat daripada enam kanak-kanak, berusia antara dua hingga sembilan tahun yang ditemui polis bergelandangan di bandar terbabit.


Siasatan mendapati seorang daripada kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang sejak 2009 lalu dan dia didakwa mempunyai pertalian saudara dengan suspek.

Justeru itu, polis melanjutkan siasatan terhadap suspek sehingga membawa kepada penemuan keempat- empat mangsa di pangsapuri kediaman suspek. Dalam melakukan jenayah ini, suspek tidak bersendirian. Teman lelakinya, Gregory Thomas, 47, turut bersuhabat.

Mereka berdua dibantu rakan, Eddie Wright, 50 dan anak perempuan Linda, Jean McIntosh, 32 yang bertanggungjawab ‘menjaga’ mangsa daripada melarikan diri daripada kurungan mereka.

Jurucakap Jabatan Polis Philadelphia, Komisioner Charles Ramsey berkata keempat-empat suspek berkenaan ditahan atas kesalahan melakukan penculikan, penderaan mental dan melakukan serangan fizikal.

“Pegawai penyiasat turut menemui longgokan pengenalan diri dan surat permohonan untuk mendapatkan skim bantuan orang cacat.

“Apa yang pasti Linda menjadi dalang semua jenayah ini sejak sekian lama, dan siasatan kami turut mendapati ia bermula sejak 2001 lalu lagi,” katanya.

Pendedahan polis turut menunjukkan bilik kurungan yang menempatkan mangsanya cukup daif dan kotor. Pegawai Polis, Jack McGinnis menyifatkan lokasi pengurungan itu umpama ‘neraka’.

“Mahkamah akan mengadili apa yang mereka sudah lakukan,” katanya.

Seorang mangsa berkata, dia menjadi tahanan Linda selepas terperangkap menerusi khidmat bantuan sukarela yang mereka tawarkan dalam Internet.

“Saya tidak sangka saya dikurung (Linda). Dia perempuan yang jahat, dia bersalah.

“Saya pernah lari, tapi ditangkap semula dan dipukul. Tiada apa yang saya boleh lakukan,” katanya.

Sehingga kini, kes ini masih lagi pada peringkat perbicaraan di mahkamah.

INFO:

SUSPEK: Linda Ann Weston, 51, Gregory Thomas, 47, Eddie Wright, 50, Jean McIntosh, 32

TUDUHAN: Menculik
LOKASI KEJADIAN: Philadelphia, Amerika Syarikat
TARIKH PENAHANAN: 15 Oktober 2011

MANGSA: Tamara Breeden, Derwin McLemire, Edwin Sanabria dan Herbert Knowles (masing-masing berumur antara 29 hingga 41 tahun)

FAKTA JENAYAH: Linda mengurung empat orang cacat mental di sebuah bilik bahagian bawah tanah pangsapuri kediamannya sejak 2001 lalu semata-mata untuk meraih pendapatan daripada skim bantuan milik orang cacat berkenaan. Suspek menerima RM2,146 sebulan daripada setiap mangsa berkenaan. Thomas turut bersubahat melakukan jenayah ini, dibantu rakan mereka, Wright, 50 dan anak perempuan Linda, Jean yang bertanggungjawab ‘menjaga’ mangsa daripada melarikan diri daripada kurungan.

FAKTA KES: Sehingga kini, kes ini masih lagi dibicarakan di mahkamah.

No comments:

Post a Comment