Monday, January 16, 2012

Gantung keluarga Shahrizat dari NFC

Harakahdaily, 16 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 16 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak supaya menggantung penglibatan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC.

Najib juga dicadang agar melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.

Cadangan ini dikemukakan PKR melalui Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli.

Dalam kenyataannya, Rafizi berkata, pihaknya  memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Encik Wan Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil) bahawa operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Datuk Seri Najib Tun Razak hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan?

"KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat (corporate administrator) dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku," katanya.

Bagi beliau, tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:

1.      Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;

2.      Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;

3.      Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan

4.      Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

Secara lazimnya, kata Rafizi, dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

"Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC," katanya.

Sekiranya kerajaan tidak bertindak dengan tegas, PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih, kata Rafizi.

Menurut beliau, petang esok (17 Januari 2012, jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi), aktivis PKR diketuai Saudara Fariz Musa, ahli Majlis Pimpinan Pusat akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil dalam tahun 2009 yang melampaui batas.

Penelitian PKR menunjukkan bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan kad kredit oleh kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mencecah RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui NFC seperti berikut:
 

Pendedahan sebegini, katanya,  akan diteruskan sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

No comments:

Post a Comment