January 15, 2012
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan untuk menentukan pengganti Datuk Dr Hasan Ali sebagai exco kerajaan negeri Selangor hari ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata nama itu akan diserahkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim esok.
“Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS,” kata Mustafa (gambar) dipetik Harakahdaily.
Laporan itu berkata, Dewan Harian PAS pusat mengadakan mesyuarat di Alor Setar, semalam dan antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan.
Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat keanggotaan dari parti Islam itu pada 8 Januari lalu dan mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama.
Bagaimanapun Hasan membayangkan dirinya tidak akan merayu walaupun temph rayuan tamat pada 7 Februari depan.
Dalam satu program di Gombak, Hasan berkata beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam PAS dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.
“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (Himpun) di Taman Bolton di sini.
Sebelum ini beberapa pemimpin PAS termasuk Timbalan Mursyidul Am Datuk Haron Din menasihatkan Hasan supaya membuat rayuan.
Ekoran pemecatan daripada PAS, Hasan turut digugurkan daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.
Pemecatan Hasan dibuat PAS kerana pemimpin itu berulang kali mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bertentang dengan dasar parti Islam itu.
Kerajaan negeri pimpinan Khalid akan menunggu senarai nama yang akan diserahkan PAS untuk membuat pelantikan baru menggantikan Hasan.TMI
No comments:
Post a Comment