Thursday, January 26, 2012

Kelantan akan dapat Menteri Besar dari UMNO ?

Umno umpan wang misi tawan Kelantan

 Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu menawan Kelantan

Mohd Nor Yahya,
KOTA BHARU, 25 Jan: Umno dianggap hanya bergantung kepada kekuatan wang ringgit bagi menjayakan misi menawan Kelantan. Sedangkan taktik itu bertentangan dengan perjuangan dibawa Nabi Muhammad saw.





(Gambar: Nik Aziz melepas rombongan Kelantan Ride)

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno sejak 20 tahun lalu beriya-iya sangat hendak tawan Kelantan dengan harapan mereka ada kekuatan wang ringgit.
“Boleh jadi kerana mereka ada duit banyak sehingga bercakap begitu, sedangkan semasa Nabi Muhammad saw dahulu, baginda seorang yang miskin dan tetap meneruskan perjuangan Islam menentang golongan kaya seperti Abu Jahal.
“Jadi tidak pelik dan hairanlah kalau kami (PAS) di Kelantan ini juga berusaha mempertahankan Kelantan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan pelepasan rombongan Kelantan Ride di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Semalam ketika datang ke Kelantan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu menawan negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-13.
Malah, sebelum ini mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melahirkan keyakinan serupa, mampu merampas Kelantan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Mursyidul Am PAS berkata, walaupun Umno berusaha merampas Kelantan, namun PAS tetap mempertahankan negeri ini.
Bagaimanapun menurutnya kekayaan yang dimiliki seseorang tidak digunakan untuk Islam dianggap hanya sia-sia sahaja.
“Firaun kaya, Qarun kaya, Namrud pun kaya kalau nak banding dengan Nabi saw masa itu. Islam menyebut kita ada akhirat dan kemenangan sesuatu kaum itu bukan kerja manusia dan itu semua adalah kehendak Allah SWT,” ujarnya.
Kata beliau juga rakyat Kelantan akan bertanggungjawab di hadapan Allah Taala kelak sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh mempertahankan dasar Islam yang ada sekarang.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak nampak sebarang perkembangan luar biasa di sebalik keyakinan Umno mahu  merampas Kelantan.
“Keyakinan itu perkara lumrah dan bukan kali pertama disuarakan pemimpin Umno samada di peringkat pusat mahu pun negeri.
“Pada pilihanraya umum 2008, Umno Kelantan di bawah Tan Sri Annuar Musa juga menyuarakan keyakinan serupa, bahkan mengisytiharkan bakal Menteri Besar Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment