(Oleh:Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 19 Jan: KEADILAN mencadangkan enam skop utama audit bagi memastikan siasatan terhadap penyelewengan wang rakyat dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) benar-benar telus dan menepati kehendak rakyat, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengumumkan kerajaan akan melantik firma perunding perakaunan bagi mengaudit dan menyiasat skandal NFC dalam tempoh sebulan bagi ‘melindungi kepentingan kerajaan’.
Skop audit itu, katanya termasuk menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga kini, termasuk pembelian atas nama peribadi.
Selain itu, katanya firma itu juga perlu menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Shahrizat bagi menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.
“Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Dato’ Seri Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain,” kata beliau.
Rafizi, yang juga bekas seorang juruaudit turut mencadangkan empat lagi skop yang perlu dilakukan:
-Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri, termasuk menyemak semua minit mesyuarat.
-Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik termasuk menyemak setiap pengeluaran dana.
-Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat bagi memastikan setiap perbelanjaan adalah berpatutan, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu.
-Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan termasuk pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment