16 Februari 2012
Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Nik Aziz Isnin depan berikutan jadual kerjanya yang padat.
"Sebelum ini saya di luar negara dan kini baru pulang dari Bangkok (Thailand), Nik Aziz pula di Kelantan. Tetapi isu yang terjadi ini berbeza. Umno memfitnah saya dan padam kenyataan saya yang mengatakan tentang hak rakyat Palestin.
"Nik Aziz tegur saya lembut dan sopan. Beliau mencadangkan kalau saya ada kata, tarik balik, jika tidak, saman," katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan mingguan dan sambutan Maulidur Rasul di Majlis Perbandaran Subang Jaya.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pertemuan itu.
Sebaliknya kata Anwar, beliau akan mengeluarkan kenyataan media petang ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari lalu, Anwar menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel.
Bagaimanapun, kelmarin, Nik Aziz menggesa Ketua Pembangkang itu, menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam WSJ bulan lalu.
Justeru, bagi menangkis dakwaan bahawa dirinya menyokong Israel, Anwar berkata, kenyataannya mengenai hak rakyat Palestin telah dipadam.
Beliau turut menegaskan, akan memberitahu mengenai pertemuannya bersama pemimpin Hamas, Khalid Mash’ad ketika kunjungan ke Qatar, dalam kenyataan yang akan diberi petang ini.
"Mereka (Umno) memotong kenyataan saya yang menyebut mengenai hak rakyat Palestin. Sama juga seperti bila Menteri Pertahanan kita berjumpa Menteri Pertahanan Israel, Menteri Luar kita berjumpa Menteri Luar Israel, ada media siarkan? Media takkan laporkan benda itu," katanya.
www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment