KOMITED...Beto utamakan disiplin dan ikhlas setiap kali menterjemah watak yang diberi.
Namun benar kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki dan tuah manusia tiada siapa yang menduga. Nama Beto lekas meniti di bibir penonton. Hanya bersandar pada satu watak dalam drama siri Juvana, bakat yang dulunya jauh tersembunyi kini tinggi melangit disanjung.
Lebih indahnya, banyak pelakon dan penerbit sudah mula menghargai bakat dan pesona yang ada dalam dirinya.
Percaya atau tidak, ada segelintir pelakon wanita yang sibuk ingin bergandingan dengannya atas alasan kagum dengan bakatnya. Begitulah besarnya impak yang diberi.
Bagaimanapun tatkala kesemua ini dibentangkan di depannya ketika bertemu dengannya minggu lalu, anak seni berusia 32 tahun ini hanya mengukir senyum.
Jelasnya, itu semua rezeki dan hadiah di atas kerja kerasnya selama ini.
“Apabila ramai sudah nampak dengan apa yang saya tampilkan, itu sudah cukup membuatkan saya gembira kerana laluan saya untuk ke tahap ini tidak semudah dilihat. Mungkin inilah ketentuan yang sudah tertulis untuk saya. Berusaha lebih sedekad dan menimba pengalaman dan ilmu terlebih dulu sebelum merasa apa yang dikatakan populariti seorang anak seni.
“Bagaimanapun tidak sesaat saya merasakan diri ini popular atau menjadi pilihan utama. Mungkin kerana sudah lali dengan hidup bersederhana dan menjadi orang yang tersorok jauh ke belakang membuatkan saya tidak lekas ketawa dengan apa yang ada hari ini. Namun inilah rezeki yang impian yang sudah lama saya inginkan.
“Alhamdulillah penerbit sudah percaya, teman artis mula rasa selesa dan ada pula peminat yang memberi sokongan. Akhirnya saya berjaya memimpin diri ke peringkat ini,” katanya.
Bercerita soal popular yang datang melekat dengan bakat lakonannya yang tiba-tiba mendadak diperkata, Beto hanya menyifatkan semua itu satu musim bertuah yang datang untuknya.
Jika salah percaturan atau silap cara menerimanya, ia akan menjadi lebih teruk hingga mampu menjerumuskan namanya tertinggal ke belakang.
“Saya hanya mahu menjadi pelakon. Itulah yang saya impi dan lakukan. Sejak awal pembabitan lagi sekitar 2003 menerusi drama Rel Waktu arahan Zulkifli M.
Osman, apa yang saya inginkan adalah peluang untuk menjadi pelakon dan memperkenalkan bakat yang ada. Lantas walaupun kini ramai sudah melabelkan saya popular, mustahil tiba-tiba wujud pula satu perasaan lain yang akan mendorong sikap dan tindakan saya.
“Soal popular adalah satu bonus buat seseorang selebriti. Ia memang penting dan menentukan sejauh mana seseorang pelakon itu boleh pergi, namun jika tanpa disiplin dan rasa tanggungjawab atas kerjaya itu, ia juga tidak akan membawa ke mana. Lantas saya percaya, apa yang perlu dilakukan hanya kekal dengan apa yang ada.
“Teruskan bekerja, sentiasa bersyukur, ikhlas dan jujur dengan apa yang kita lakukan,” katanya tersenyum.
Terbaru, jelas Beto yang tampil bersahaja menerusi drama Runtuhnya Sebuah Dosa dan Jujur Aku Daus sebelum ini, drama siri terkini lakonannya berjudul Pelangi Kasih yang sedang ditayangkan di TV3 adalah sebuah perjalanan cerita yang menarik dengan lakonan ramai pelakon hebat.
Bergandingan dengan Nabila Huda, Puteri Sarah, Johan Ariff Asa’ri dan Watie Sadali, drama 25 episod terbitan Global Station ini membuka ruang buat Beto menghidupkan watak Zafrul yang misteri.
“Pelangi Kasih adalah satu cabaran besar buat saya sebagai pelakon. Lihat secara kasar, perwatakannya memang biasa namun sebaik saya meneliti skripnya dan mendengar kehendak pengarahnya, Mohamed Feroz Kader, ia bukan mudah dan memerlukan fokus yang besar. Saya sendiri merasai tekanan daripada karakter yang dibentuk itu.
“Mana tidaknya, mulanya penonton akan melihat sikap Zafrul yang baik namun lama-kelamaan sikapnya berubah hingga mampu mengundang rasa meluat kerana tindakannya yang pentingkan diri sendiri dan hanya menggunakan perasaan dua wanita, Sofea dan Azlin untuk kepentingan peribadinya.
“Cintanya untuk Sofea namun Zafrul terpaksa mengahwini Azlin kerana duit. Justeru saya percaya penonton akan benci dengan apa yang saya terjemahkan,” katanya.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang mengikuti kemelut tiga jiwa ini dengan seorang lagi lelaki yang akan muncul, Omar lakonan Johan menerusi Pelangi Kasih setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam di TV3.
Beto akan turut tampil di layar perak tahun ini menerusi Bara Jiwa yang kini sudah pun dilabelkan judul baru, Jiwa Taiko, Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly dan Chow Kit sentuhan pengarah, Brandon Lee.
No comments:
Post a Comment