WarkahDaily -- Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd bakal memperkenalkan sebuah lagi model baru pada tahun ini. Ianya bakal dilancarkan pada bulan depan. Namun, menurut Pengarah Urusan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir baru-baru ini, model baru itu bukan model gantian Proton Persona seperti yang didakwa segelintir pemerhati produk tempatan itu.
Model baru yang dikenali sebagai “P3-21A” buat sementara itu adalah sebuah kereta baru, dengan reka bentuk baru dan tidak pula ‘duplicate’ model Persona seperti yang disangka.
“P3-21A” direka bagi memenuhi keperluan perundangan semua kemungkinan pasaran sambil ianya adalah model bertaraf dunia dengan dipasang enjin turbo Campro, jelas Syed Zainal Abidin.
Semalam, Proton telah mengumumkan kerjasama dengan YES, penyedia rangkaian 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd untuk menawarkan akses internet 4G dalam kereta yang pertama di Malaysia dalam kereta-kereta mewah dan model sedan baru “P3-21A” Proton yang akan dilancarkan.
Melalui kerjasama itu, para pengguna Proton bakal menikmati kemudahan perkhidmatan 4G dari YES sebagai ciri standard tambah nilai yang baru pada model Proton.
Hasil kerjasama itu juga bakal memanfaatkan rangkaian internet mudah alih 4G YES yang pada masa ini meliputi lebih 65% daripada kawasan berpenduduk negara.
Menurut Syed Zainal Abidin lagi, inovasi ini adalah usaha pertama dalam langkah penjenamaan semula Proton dan membuka kemungkinan spektrum baru dan menawarkan para pengguna dengan kelajuan, keselesaan dan produktiviti yang lebih hebat ketika berada di jalan raya.
“Kami telah bekerjasama dengan YTL selama setahun dan menandatangani perjanjian tahun lepas.
Hari ini (semalam), ia cuma satu langkah kecil. Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta,” kata beliau kepada pemberita seperti yang dipetik dari Bernama Online.
Beliau berkata inisiatif ini akan menjadikan jenama Proton lebih menarik dan menambah pendapatan kepada syarikat.
Kos yang terlibat dalam kereta internet 4G Proton baharu adalah amat minima kepada para pengguna kerana tujuan utama ialah menyediakan mereka kereta yang berkualiti dan mampu milik, kata Syed Zainal sambil menyatakan Proton telah berunding mendapatkan pakej yang baik dengan YTL.
YES merupakan satu-satu pengendali rangkaian wayarles di Malaysia yang menawarkan saling hubung 4G tanpa sempadan sepanjang 960km Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuh Raya Pantai Timur.
Sebanyak lima peranti mudah alih boleh dihubungkan ke rangkaian wayarles mikro kereta pada masa yang sama.
Desas-desus menyatakan, Proton akan menawarkan harga berpatutan bagi model barunya itu. Bagi variasi ‘fullspec P3-21A’, Proton dikatakan akan menawarkan harga sekitar RM75K.
Gambar ‘SpyShots’ model baru Proton “P3-21A”. [Klik gambar untuk zoom atau paparan lebih jelas]
--WARKAHDAILY
No comments:
Post a Comment