Sunday, February 26, 2012

Salinan surat Tun M boleh dirujuk

Wartawan Sinar Harian
26 Februari 2012
Rais Yatim
KUALA LUMPUR – Tiada masalah untuk merujuk kembali salinan surat yang ditulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada dua Perdana Menteri Israel kerana ia tidak mengandungi maklumat rahsia dan sama seperti surat yang ditulis menteri biasa kepada rakan di negara lain.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tindakan seseorang pemimpin menulis surat kepada pemimpin negara lain tidak menjadi kesalahan kerana informasi kini menjadi hak dan keperluan setiap individu.
 
“Apa yang penting, kandungan surat itu sama ada ia akan memudaratkan negara atau tidak. Ia juga boleh dijadikan bukti untuk dikaitkan dengan sesuatu isu. Pada saya, surat itu tidak akan timbulkan sebarang kontroversi dan boleh dianggap sebagai hubungan biasa antara dua orang Perdana Menteri.
 
“Tun Mahathir tidak pernah meluahkan simpati kepada Israel, jadi, pendedahan surat itu tidak akan menimbulkan tanggapan negatif kepada beliau,” katanya kepada media selepas merasmikan Kolokium Sejarah Malaysia di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM), semalam.
 
Mahathir sebelum ini mengaku surat yang diberikan Benjamin Netanyahu yang dilantik sebagai Perdana Menteri Israel dari 1996 hingga 1999 dan Ehud Barak dari 1999 hingga 2001, mengandungi jawapan untuk menolak hubungan Malaysia dengan Israel.
 
Mahathir berkata, kedua-dua Perdana Menteri Israel itu menyatakan harapan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia dan beliau mengatakan Malaysia tidak akan adakan sebarang hubungan dengan kerajaan rejim Zionis itu selagi tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin.
 
Dalam laporan kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, surat itu akan didedahkan kepada umum jika tidak memudaratkan negara dan tiada sebab ia tidak boleh disiarkan secara terbuka memandangkan pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan mempertikaikan surat tersebut.
 
Katanya, beliau telah meminta Wisma Putra untuk menyemak semula surat itu sebelum memberi ulasan sama ada ia boleh didedahkan atau tidak.

No comments:

Post a Comment