Monday, February 20, 2012

Umno-BN tidak mampu pertahan kerajaan rampasan Perak

Diterbitkan oleh: Editor@WD
Isnin, Februari 20, 2012



PAS berkeyakinan tinggi bahawa rakyat Perak tidak akan memberi peluang kepada Umno-BN terus menerajui negeri. Sementelah hubungan tiga parti Pakatan Rakyat sangat kukuh dan tidak akan goyah dengan apa jua tohmahan.

Ikuti wawancara MOHD RASHIDI HASSAN dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir Masduki

WARTAWAN: Bagaimana dengan tahap kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat di Perak?

MISBAHUL MUNIR MASDUKI: Kerjasama partiparti komponen Pakatan Rakyat adalah cukup baik di Perak. Mesyuarat diadakan dua minggu sekali di kalangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri, Sekretariat Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menyelaraskan dan melaksanakan program bersama, bersepakat dalam menangani apa sahaja isu dan pendirian dan bekerjasama dalam menjayakan program.

Adakah isu-isu yang boleh mengganggu kerjasama. Jika ada, bagaimana saudara mengatasinya?

Sehingga sekarang tidak ada isu yang boleh mengganggu kerjasama. Prinsip yang kita sepakati bersatu menumbangkan kezaliman, salah guna kuasa, amalan rasuah dan kemungkaran ekonomi Umno-BN. Sekiranya ada sekalipun hanya isu kecil yang boleh diselesaikan di meja perbincangan dengan penuh berhemah.

Bagaimana dengan pembahagian kerusi. Sudahkah ia selesai?

Hanya satu dua kerusi yang bertindih, namun ia dapat diselesaikan sebelum PRU akan datang, insya-Allah.

Secara keseluruhannya, apakah saudara yakin Pakatan Rakyat boleh menguasai kerajaan negeri?

Saya yakin insya-Allah Perak akan kembali dikuasai oleh Pakatan Rakyat setelah dirampas dengan cara yang begitu kotor dan jelek oleh Umno- BN. Sebenarnya rakyat Perak masih bersama Pakatan Rakyat, dulu Perak dirampas bukan kerana pilihan rakyat tetapi pengkhianatan oleh tiga orang durjana ini.

Bagaimana saudara melihat Umno, bolehkah mereka mempertahankan kerajaan negeri?

Umno tidak mampu mempertahankan kerajaan negeri, ini kerana dua kelompok rakyat yang selama ini menjadi talian hayat mereka sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat.

MCA, MIC dan Gerakan sudah lumpuh dan hilang pengaruh kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN. Umno sudah hilang tonggak kekuatan mereka, Umno gunakan sentimen perkauman pula bagi meraih undi simpati orang Melayu menyebabkan pengundi Cina dan India semakin benci kepada Umno-BN.

Apakah kelemahan Umno- BN yang saudara rasa boleh dijadikan alasan kukuh untuk rakyat menolak mereka?

Amalan rasuah, salah guna kuasa, salah urus tadbir, perkauman, tidak menepati janji, khianat pada rakyat, pentingkan kroni, pecah amanah dan sebagainya adalah kelemahankelemahan Umno-BN yang sangat ketara. Tidak ada sebab rakyat masih bersama dengan Umno-BN yang semakin menuju kehancurannya.

Bagaimana dengan program Jom Masuk PAS yang dilancarkan baru-baru ini?

Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar.

Beberapa tokoh dari kalangan pesara kerajaan dan tentera/ polis yang telah menyertai PAS menjelajah seluruh Perak bagi menyampaikan ceramah Mengapa Pilih PAS. Program mendapat sambutan dengan baik. Kemasukan tokoh-tokoh ini seperti Dato’ Adnan Ibrahim (mantan Pengarah JPN Perak), Laksamana (B) Imran Aziz (Pesara tentera), Abdullah Omar (mantan OCPD) ada pengaruh besar rakyat sokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Harapan saudara kepada seluruh jentera dan pimpinan PAS dalam usaha menawan kerajaan negeri?

Seluruh jentera dan pimpinan PAS di semua peringkat hendaklah melipat gandakan komitmen dalam melaksanakan agenda parti merampas semula Perak dari Umno-BN. Beri tumpuan sepenuhnya gerak kerja pilihan raya secara terancang dan berjadual dengan sasaran kerja yang jelas, dekati seluruh lapisan masyarakat, sampaikan semua maklumat ke akar umbi, gunakan apa sahaja pendekatan dan strategi bagi mengubah minda pengundi. Pimpinan PAS terutama bakal calon hendaklah sentiasa bersama dengan rakyat dengan dekati dan menjiwai mereka.

DetikDaily

No comments:

Post a Comment