Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, berikutan pertemuan khas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Alor Setar, yang berakhir awal pagi semalam, Azizan diminta meneruskan tugasnya seperti biasa.
"Selain itu, Pas Pusat juga sebulat suara mahu Datuk Ir Phahrolrazi (Zawawi) dan Dr Ismail Salleh kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri Kedah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selain dua langkah itu, Pas Pusat akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu untuk sama-sama bertangungjawab memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri yang diterajui Pas dan juga negeri-negeri yang Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.
Pakatan Rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP menerajui kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Wakil Pas merupakan Menteri Besar bagi Kelantan dan Kedah.
Pada pertemuan khas misi damai yang berlarutan lebih lima jam sehingga 3 pagi semalam, Dr Ismail tidak hadir bersama, tetapi keputusan sebulat suara itu telah dimaklumkan kepada beliau.
"Kedua-dua Exco dah tahu keputusan ini, dan itu yg kami putuskan," kata Mustafa lagi.
Ketika ditanya sama ada kedua-dua Exco telah memberi jawapan atau tidak, Mustafa berkata, pihaknya optimis yang kedua-dua mereka akan kembali menerima tawaran pelantikan semula.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment