22 Mac 2012
SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau bersetuju untuk berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.
Menurutnya, pengasas Wikileaks, Julian Assange menyatakan bersetuju untuk menganjurkan debat tersebut.
"Saya telah menyatakan persetujuan kepada beliau, kini terpulang kepada Perdana Menteri dan Raja Petra sama ada mereka bersetuju ataupun tidak.
"Ia boleh diadakan di mana-mana saja secara sidang video tanpa bertemu antara satu sama lain, saya menyerahkan kepada mereka bila perlu diadakan. Saya sentiasa bersedia," katanya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Twitter semalam, Wikileaks mempelawa Najib untuk mengadakan debat dengan Anwar dan Raja Petra sama ada secara bersama atau secara berasingan.
Menurut Wikileaks, kenyataan akhbar itu dikeluarkan sebagai respons kepada kontroversi baru-baru ini berkenaan Anwar dan Raja Petra serta kenyataan Najib yang menyusul.
Wikileaks berkata, jika Najib menerima jemputan itu, debat itu akan difilemkan dan akan diikuti oleh lebih 600 juta pengikut laman web kontroversi itu.
Minggu lalu, Najib berkata, keputusan Anwar yang enggan berdebat dengan Raja Petra di Kent, England adalah satu tindakan yang tidak konsisten.
Perdana Menteri berkata, "nampaknya dia (Anwar) tidak sanggup (berdebat dengan Raja Petra)."
Menurut laporan akhbar, Raja Petra mendakwa Anwar "chicken" (pengecut) setelah meminta penganjur "Forum Wikileaks" untuk mengeluarkan nama Raja Petra dari senarai peserta forum itu yang berlangsung pada Sabtu lalu di Kent, England.
Najib berkata, ini menunjukkan apa yang diperkatakan oleh Anwar, tidak sama dengan apa yang dilakukannya.
No comments:
Post a Comment