Tuesday, March 27, 2012

Demo PTPTN: Pelajar belum tetap tarikh


Gabungan pertubuhan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) masih belum menetapkan tarikh bagi mengadakan perhimpunan untuk menuntut supaya pinjaman melalui Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Pengerusinya, Safwan Anang berkata, SMM akan membincangkan mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya esok.

"Setakat ini belum ada keputusan lagi. Kita akan pastikan dulu pergerakan mana yang sudah mula membawa isu PTPTN.

"Kita tahu ada badan yang sudah lama memperjuangkan isu ini seperti daripada Parti Sosialis Malaysia. Jadi kita kena fikir sama ada kita sendiri ketuai atau barisan (pelajar) lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, SMM perlu menimbang perkara itu memandangkan badan itu juga akan melibatkan diri dalam himpunan Malaysia Bangkit pada 14 April.

Selain itu, SMM juga perlu menyokong kumpulan pelajar pro-M untuk menuntut supaya pilihan raya kampus tahun ini tidak ditangguhkan, katanya lagi.

Safwan berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu semalam yang berkata PAS akan menyokong perhimpunan yang akan dilakukan pelajar berkenaan.

Mohamad berkata PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang yang ditanggung pelajar dihapuskira kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Mohamad juga berkata, selain SMM, perhimpunan tersebut juga akan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

No comments:

Post a Comment