Wednesday, March 14, 2012

Isteri ‘degil’ pergi kerja diserang oleh suaminya

myMetro

KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu ke tempat kerja walaupun dilarang menyebabkan seorang isteri hampir ditikam suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Setapak, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun sedang bersiap untuk ke tempat kerja sebelum suaminya tidak membenarkan mangsa keluar dari rumah.

Menurut sumber, mangsa enggan menurut arahan itu sebaliknya memberitahu mahu juga ke tempat kerja tambahan pula dia sudah lewat.

“Geram dengan tindakan itu, suami mangsa naik angin sebelum segera berlari ke dapur membawa sebilah pisau dan terus menyerang mangsa.

“Akibatnya, mangsa cedera di bahu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan,” katanya.

Sumber berkata, kebetulan ketika kejadian, bapa mangsa singgah ke rumah anaknya itu dan membantu menenangkan menantunya.

“Mangsa sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum suaminya ditahan.


“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment