Saturday, March 31, 2012

Jaja negara maju tapi Dun MB Pahang masih teruk

Harakahdaily 31 Mac 2012
BENTONG, 31 Mac: Dalam masa Umno Pahang turun berkempen ke serata pelosok mengatakan negeri ini akan maju, sebaliknya kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai yang diwakili Menteri Besar (MB), Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri jauh ketinggalan.

Antaranya kira-kira 70,000 penduduk di kawasan berkenaan dinafikan kemudahan seperti hospital, bank, balai Bomba dan Penyelamat selain jalan utama sebagai perhubungan sangat teruk.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Abdul Hamid Bahatim (gambar) berkata kesusahan yang ditanggung penduduk ini menyebabkan mereka terpaksa menyelesaikan urusan dengan pergi mencari alternatif lain iaitu Triang atau ke Bahau dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

“Banyak kali terjadi apabila berlaku penduduk sakit, terpaksa dibawa ke Hospital Temerloh iaitu terpaksa memakan masa satu jam setengah kerana jarak yang jauh. Bayangkan jika berlaku ibu-ibu mahu bersalin.

“Ketiadaan bank pula menyebabkan penduduk selalu kesukaran untuk urusan keluar masuk wang dan menjadi kritikal terutama bagi yang anak-anak yang sedang belajar. Jadi mereka terpaksa pergi ke Triang dalam daerah Bera.

“Bayangkan jika penduduk mempunyai urusan kewangan terpaksa ke kawasan DAP (Triang). Tak malu ke, kutuk DAP bukan main lagi macam-macam main isu perkauman tetapi ke tempat DAP jugalan berurusan bagi penduduk kawasan MB,” sindirnya.

Dun Pelangai ialah salah satu daripada empat Dun dalam Parlimen Bentong selain daripada Ketari, Bilut dan Sabai.

Kawasan tersebut meliputi tiga kawasan Felda berpeneroka iaitu Chemomoi, Sungai Kemahal dan Kemasul selain banyak ladang Felda Plantation. Terdapat juga lima buah kampung dan pekan kecil.

Abdul Hamid berkata, sejak Dun Pelangai diwujudkan pada tahun 1969, sudah enam penggal Adnan mewakili kawasan ini termasuk menjadi Exco dan kini sebagai MB Pahang (tiga penggal) tetapi tidak banyak perubahan dan pembaharuan yang dibawa.

“Kemudahan asas seperti jalan raya juga sangat perlu. Bayangkan jika penduduk mahu berurusan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Bentong terpaksa mengambil masa dua jam berkereta dari sini kerana jalan yang sempit, banyak selekoh dan berlubang-lubang.

“Jalan Manchis iaitu menghubungkan kawasan ini untuk ke Kuala Lumpur berlubang dan tidak rata. Bila hujan lebat terputus hubungan.

“Saya sendiri pernah terpaksa tidur dalam kereta baru-baru ini apabila hujan lebat tidak berhenti menyebabkan jalan yang rendah dilimpahi air,” ceritanya.

Abdul Hamid menambah, kemudahan-kemudahan inilah yang sangat diperlukan penduduk tetapi bila MB turun kawasan biasanya akan bawa wang saja barangkali untuk tunjukkan kerajaan mewah.

Katanya, penduduk dapat menyaksikan jalan Simpang Durian yang tidak jauh dari Simpang Pelangai iaitu dalam daerah Jelebu, Negeri Sembilan lebih baik lagi daripada kawasan MB yang banyak cerita ladang penduduk diganggu dan dimusnahkan gajah.

Abdul Hamid memberitahu, dulu pernah ada ura-ura kerajaan mahu membina Maktab Rendah Sains Mara di Simpang Pelangai, tetapi entah macam mana telah dibawa ke Karak iaitu berhampiran Lebuh Raya Pantai Timur.

“Kemudian berlaku tanah runtuh di situ dan kini MRSM Karak ditutup sepenuhnya.

“Saya tidak faham macam mana cara pemimpin Umno berfikir meletakkan pusat pengajian berasrama penuh (SBP) di situ tanpa kajian dan tidak cermat,” katanya.

Justeru Abdul Hamid meminta penduduk dan pengundi di Dun Pelangai berfikir pada masa akan datang kerana merdeka sudah hampir 55 tahun tetapi kawasan diwakili MB serta parlimennya diwakili menteri, tidak banyak berubah.

Beliau tidak mahu nanti dikatakan orang, di mana ada orang Melayu di situlah adanya kemunduran kerana kawasan sekeliling Dun berkenaan sudah lama maju.

No comments:

Post a Comment