Thursday, March 15, 2012

Pemain import Kedah diberi amaran keras prestasi hambar

Harian Metro

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan memberi amaran keras kepada pemain importnya Hamidan Mohammed yang gagal menyerlah dalam Liga Malaysia walaupun telah diberi peluang beraksi.

Beliau mahu pemain dari Ghana itu membuktikan kemampuannya ketika menentang Negeri Sembilan dalam Liga Super di Seremban pada Sabtu ini.

Wan Jamak berkata Hamidan masih tercari-cari rentak permainan dalam pasukan negeri dan, sebagai jurulatih, beliau tidak bertolak ansur dengan prestasi hambar pemain import itu.

"Saya telah beri amaran keras kepada Hamidan supaya dia dapat bermain pada posisi sebenarnya sebagai penyerang kedua dan saya turut mencari beberapa kelemahan dan kekuatan sebenar pemain ini.


"Bukan masa saya untuk membentuk dan mengajarnya untuk menjaringkan gol. Jika dia datang ke sini sebagai pemain import dengan nama yang gah dan prestasi yang tinggi dalam arena bola sepak antarabangsa, dia perlu tahu peranannya dalam pasukan Kedah," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Kedah di sini.


Wan Jamak berkata beliau hanya memberi 70 minit untuk Hamidan beraksi dalam beberapa perlawanan setelah Hamidan gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol bagi mengelakkannya tertekan dan boleh memburukkan keadaan pasukan.

"Saya tak mahu Hamidan rasa tertekan atau rasa kecewa dan langkah baik kami keluarkannya agar dia dapat tenangkan fikiran serta melihat semula di mana kesilapan dan kekuatannya," kata Wan Jamak.

Mengenai persiapan menentang bekas pasukan bimbingannya, Negeri Sembilan, Wan Jamak berharap Kedah dapat mengekalkan momentum ketika bertandang ke Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, di Seremban.

Tiga pemain utama Kedah, Mohd Fauzi Nan, Amar Rohidan dan Badrol Bakhtiar mengalami kecederaan menyebabkan mereka mungkin tidak dapat diturunkan.

Bagaimanapun, menurut Wan Jamak, pada sesi latihan terakhir hari ini beliau akan menilai kecederaan Amar dan Badrol, dan sekiranya tidak serius kedua-dua mereka akan dapat bermain.

"Sebenarnya saya lebih suka mereka tidak diturunkan jika kecederaan yang dialami mereka bertambah serius kerana kita selepas ini ada perlawanan penting menentang T-Team dalam suku akhir Piala FA," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment