Friday, March 9, 2012

Pembatalan SBPA bukti Pakatan kuat

Rizal Tahir, 09 Mac 2012
KOTA BHARU, 9 Mac: Penarikan balik skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri semalam antara lain adalah disebabkan desakan berterusan oleh Pakatan Rakyat.

Ianya juga sekaligus membuktikan komponen parti PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan itu kuat sehingga desakan itu diterima oleh kerajaan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

“Yang terakhir pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Kedah yang kita mendesak kerajaan membatalkannya dan alhamdulillah ianya telah berlaku hari ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk membatalkan SPBA.

Perdana Menteri turut mengumumkan sistem sedia ada, Sistem Saraan Malaysia (SSM), akan ditambah baik.

“Maknaya andai kata Pakatan tidak kuat, sudah tentu penangguhan itu tidak berlaku dan pembatalan itu juga tidak berlaku,”ujarnya.

Sambil menyifatkan pembatalan itu sebagai 'modal politik pilihanraya', ianya juga membuktikan dasar-dasar yang dibuat oleh Najib tidak konsisten, sebagaimana dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Walaupun ianya telah diluluskan dalam kabinet, tetapi dibatalkan oleh kabinet yang sama.

“Ini bererti dasar tersebut tidak dikaji terlebih dahulu secara masak dan diteliti sebelum ianya diputuskan dalam kabinet,”ujarnya.

Husam sebelum itu trutu menyampaikan sumbangan biasiswa bulanan kepada 857 pelajar pelbagai bangsa sumbangan anak-anak Salor dalam kawasan Dun beliau hari ini.

Sempena majlis itu juga Husam turut menyampaikan sumbangan Kifaalah kepada empat penerima.
Harakahdaily

No comments:

Post a Comment