Saturday, March 17, 2012

Rahsia pintu bertutup terbongkar

Oleh Azma Razana Johari dan Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: Rahsia sebuah rumah teres setingkat yang sentiasa bertutup dan bercermin gelap sejak setahun lalu terbongkar, selepas diserbu sepasukan polis di Taman Budiman, dekat sini, jam 6.15 petang kelmarin.

Dalam operasi dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, tiga lelaki berusia 34, 47, dan 58 tahun ditahan ketika leka memproses heroin di rumah berkenaan.

Difahamkan, ada sebuah makmal mini dalam rumah itu dan ketika serbuan, suspek baru selesai memproses dadah untuk diedarkan di sekitar negeri itu.

Dipercayai, makmal mini itu wujud sejak beberapa bulan lalu dan suspek dilaporkan menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Sumber polis berkata, beberapa peralatan memasak dadah dirampas selain pelbagai bahan kimia termasuk asid hidroklorik.

Bagaimanapun, katanya, jumlah dadah dirampas belum diketahui. Sementara itu, jiran suspek berusia 34 tahun yang enggan dikenali berkata, walaupun berjiran sejak setahun lalu, mereka jarang berjumpa dan bertegur sapa kerana pintu rumah berkenaan sentiasa ditutup seolah-olah tidak berpenghuni.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu berkata, dia pernah terserempak seorang daripada suspek di laman rumah bulan lalu, tetapi mereka hanya saling melemparkan senyuman.

Seorang lelaki yang mendakwa sebagai saudara kepada pemilik rumah berkenaan berkata, rumah itu disewakan kepada suspek sejak setahun lalu dan dia tidak mengenali mereka secara peribadi.

Lelaki berusia 40-an itu berkata, mereka sekeluarga tidak mengesyaki tingkah laku pelik penghuni rumah itu.

“Kami tinggal berdekatan dengan rumah ini dan sepanjang mengenali mereka, tiada apa yang pelik,” katanya yang terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek direman seminggu sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sumber :Harian Metro

No comments:

Post a Comment