28 Mac 2012
PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih sebelum Ahad ini berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun tahun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini akan berakhir pada 31 Mac dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun (DPT ST) 1/2012 dijangka diwartakan pada bulan Mei ini.
"Kalau (pemohon) tidak terlibat dengan bantahan, mereka layak mengundi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pada suku tahun pertama tahun ini layak untuk mengundi pada PRU-13 sekiranya pilihan raya UMUM diadakan pada bulan Jun ke atas.
Pada masa yang sama, Abdul Aziz berkata proses pendaftaran pemilih masih diteruskan melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) di mana proses pendaftaran dijalankan setiap hari manakala proses semakan dan mewartakan daftar pemilih dijalankan setiap tiga bulan sekali.
Beliau berkata tempoh untuk mendaftar sebagai pemilih sehingga proses mewartakan daftar pemilih mengambil masa kira-kira empat bulan setengah.
"Secara puratanya, SPR mengendalikan antara 200,000 hingga 250,000 permohonan pendaftaran baru dan pertukaran alamat pusat mengundi bagi setiap DPT ST," katanya.
Sehingga DPT ST 4/2011 yang berakhir pada 31 Dis tahun lepas, Abdul Aziz berkata jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara ialah 12,595,268 orang manakala 3,088,540 orang atau 19.7 peratus masih tidak berdaftar sebagai pengundi.
Sehingga Februari tahun ini, beliau berkata warganegara Malaysia yang mencapai umur 21 tahun dan layak untuk mengundi ialah 15,683,808 orang.
Permohonan baru atau pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di kaunter-kaunter pejabat pilihan raya negeri.- Bernama
No comments:
Post a Comment