Monday, March 19, 2012

SPR bersedia hadapi PRU13

Wartawan Sinar Harian
19 Mac 2012
wan ahmad

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin bersedia pada skala 90 peratus untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada akhir bulan depan iaitu dua minggu selepas Dewan Rakyat selesai bersidang.

Persidangan Dewan Negara pula akan menyusul sehingga minggu kedua Mei.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya telah pun mengurus dan menyempurnakan ‘tugas-tugas besar’ ke arah menghadapi PRU13, yang disifatkan sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’.

“Sasaran 90 peratus boleh dicapai akhir bulan depan. Akhir Mac kita akan selesai mengadakan taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya dan pekerja pilihan raya.

“Pada akhir April, kita sudah boleh bersedia 90 peratus, semuanya sudah OK,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Justeru kata beliau, jika berlaku pembubaran Parlimen tidak ada sebarang masalah besar untuk menentukan tarikh pilihan raya.

Difahamkan SPR sudah pun siap mengadakan taklimat pilihan raya bagi semua negeri kecuali Sarawak.

Taklimat dan sesi lagi peringkat negeri dijangka diadakan awal April. Minggu lalu melibatkan Sabah.

“Jadi bermakna jika Parlimen dibubarkan bulan April, SPR tiada masalah untuk mengadakan pilihan raya... persiapan akhir boleh dibuat apabila Parlimen, Dewan Undangan Negeri dibubarkan,” katanya dengan merujuk kepada sesi latihan dan taklimat dan logistik sebagai persiapan besar yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Perkara-perkara besar sudah selesai,” katanya.

Katanya, jika ada masa SPR akan mengadakan latihan pusingan kedua termasuk memperkenalkan kepada kaedah pengundian menggunakan dakwat kekal kepada semua pihak.

SPR mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan tetapi lazimnya pengundian akan diadakan dalam tempoh tiga minggu selepas pembubaran.

Spekulasi yang semakin kuat menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat, sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berakhir.

No comments:

Post a Comment