Harian Metro
DATUK Seri Hishammuddin Hussein berkata, suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang adalah warga tempatan.Menteri Dalam Negeri berkata, berikutan penangkapan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin polis dapat menyelesaikan kes pembunuhan kejam dan mengejutkan negara itu.
Beliau berkata, suspek yang ditahan itu juga tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan keluarga mangsa.
“Dalam kes Nurul, saya mahu mengesahkan beberapa suspek ditahan polis dan semua suspek warga negara itu kini disiasat polis.
“Polis pastikan pelaku kes ini diheret ke muka pengadilan dan tiada siapa pun terlepas,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang menghargai kerjasama semua pihak berkata, kejadian itu ternyata mencetuskan kemarahan orang ramai dan menyifatkan masyarakat negara ini mampu mencapai perpaduan dengan mengenepikan kepentingan politik dan pertimbangan peribadi.
“Ada beberapa perkara pokok kita tidak boleh kompromi berlandaskan politik, kaum atau agama dan dalam kes ini kami lihat kemarahan orang ramai terhadap apa yang berlaku.
“Semua pihak tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik menyalurkan kerjasama menyalurkan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya beberapa suspek,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap lebih banyak kerjasama sama seumpama itu ditingkatkan, sekali gus membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah.
Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, polis tidak menolak kemungkinan dendam peribadi terhadap keluarga Dirang menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak berkenaan. Beliau berkata, setakat ini, empat suspek termasuk tiga ditahan beberapa jam selepas laporan kehilangan Dirang dibuat neneknya, 1 Mac lalu. Dirang dilaporkan hilang selepas ke kedai runcit di tingkat bawah blok perumahan bersebelahan dengan kediamannya untuk membeli mi segera dan telur dengan membawa RM4 dalam kejadian jam 10 pagi.
No comments:
Post a Comment