Friday, April 13, 2012

Annuar: FAM perlu keluar sindrom penafian

13 April 2012
Annuar-Musa

SHAH ALAM - Tan Sri Annuar Musa, yang kini digantung selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menganggap sikap memandang remeh ranking Harimau Malaya hanya menggambarkan sikap tidak mengambil peduli badan induk itu berhubung kedudukan skuad kebangsaan di peringkat global.

Malah menurut Timbalan Presiden FAM ini, sikap sedemikian juga menunjukkan badan induk itu cuba menutup kelemahannya sendiri.

"Sikap meragui kaedah pengiktirafan hanya mempamerkan 'state of denial' atau sindrom penafian dalam diri kita.

"Malah sindrom ini dilihat sebagai percubaan untuk menutup kelemahan sendiri dimana ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak," kata Annuar hari ini.

Pandangan Annuar itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad semalam, yang antara lain meminta semua pihak supaya tidak panik dengan ranking skuad kebangsaan menjunam ke tahap paling buruk sejak Januari dengan berada pada kedudukan ke-156 dunia.

Beliau berkata kemerosotan dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu adalah bersifat teknikal dan bukan menjadi kayu ukur sebenar mutu skuad kebangsaan.

"Kita tidak perlu cepat menekan butang panik dengan apa yang berlaku kerana ia disebabkan oleh faktor skuad kebangsaan kurang menyertai pertandingan persahabatan, dan bukannya sebab pasukan kita tidak bagus," katanya.

Laporan media menyebut skuad Harimau Malaya mencecah ranking terburuk apabila kini berada pada kedudukan ke-156 selepas jatuh empat anak tangga.

Kedudukan tersebut disifatkan sebagai paling buruk berbanding kedudukan ke-148 Januari lalu, 150 pada Februari dan 152 bulan lepas.

Senarai terbaru itu menyaksikan skuad Harimau Malaya berada pada kedudukan lebih rendah berbanding negara kurang maju seperti Bangladesh (152) dan Nepal (146).

Laporan mengenai kedudukan skuad negara itu muncul ketika isu Annuar-FAM masih hangat diperkatakan.

Annuar digantung 30 bulan kerana mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan.

Mengikut artikel tersebut, hanya presiden dan setiausaha agung badan induk bola sepak negara itu sahaja mempunyai kuasa dan dibenar mengeluarkan kenyataan kepada media.

Dalam komennya dipetik dari laman Facebooknya, Annuar menganggap ranking Fifa adalah satu-satunya penanda aras untuk menyukat tahap kompetitif relatif pasukan kebangsaan.

"Ia seharusnya menjadi panduan untuk kita merancang prestasi dan daya saing pasukan negara supaya kita lebih berusaha untuk menduduki tangga yang lebih baik melalui program yang lebih tersusun dan berkesan.

"Apa-apa pun kita harus terlebih dahulu keluar daripada sindrom penafian itu," kata Annuar.


Wartawan Sinar Harian

No comments:

Post a Comment