Rayuan bapa ditolak
harian metroPUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak rayuan yang dikemukakan seorang bapa mualaf terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan hak penjagaan tiga anaknya yang telah diislamkannya kepada bekas isterinya yang beragama Hindu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim menolak dengan kos permohonan Muhammad Ridzuan Abdullah atau sebelum memeluk agama Islam dikenali sebagai K. Patmanathan, bagi pelanjutan masa untuk memfailkan rekod rayuan.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mohtaruddin Baki dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner.
Panel itu sebulat suara menolak permohonan Ridzuan selepas mereka berpuas hati bahawa tidak terdapat asas atau keadaan khusus untuk memberikan pelanjutan masa untuk beliau memfailkan rekod rayuan.
Ridzuan memfailkan notis rayuan pada 11 Mac, 2010 dan diperlukan memfailkan rekod rayuan itu dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh memfailkan notis rayuan tetapi peguam Ridzuan yang terdahulu tidak berbuat demikian.
Pada 11 Mac, 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan Tevi Darsiny (Ummu Salamah), 15, Karan Dinish (Abu Bakar), 14 dan Prasana Diksa (Ummu Habibah), 4, kepada Indira tetapi membenarkan Ridzuan melawat anaknya itu seminggu sekali.
Mahkamah memerintahkan Prasana Diksa, yang tinggal bersama Ridzuan, dipulangkan kepada Indira dan dua lagi anak yang tinggal bersama Indira, kekal di bawah penjagaan wanita berusia 37 tahun itu.
Ridzuan, 43, memeluk Islam pada April 2009 dan turut menukar agama tiga anaknya kepada Islam pada 2 April, 2009 tanpa kebenaran Indira.
Pada 24 April tahun yang sama, Indira mendapat perintah hak penjagaan sementara daripada Mahkamah Tinggi Ipoh.
Pada 29 Oktober tahun yang sama, Ridzuan, yang diwakili peguam Anas Fauzi, memperoleh perintah Mahkamah Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepadanya. Peguam yang mewakili Indira, M Kulasegaran berkata, sehingga hari ini, mereka gagal mengesan Ridzuan dan anak bongsunya. - Bernama
No comments:
Post a Comment