metro
KUCHING: Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, semalam yang mulanya
tenang tiba-tiba bertukar sedih apabila Hakim Yew Jeng Kie turut
mengalirkan air mata sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun
terhadap seorang remaja yang mengaku bersalah membunuh dan menanam mayat
rakannya di belakang sebuah rumah, tahun lalu.Ia bermula ketika Yew dalam penghakimannya membacakan latar belakang tertuduh, Abang Ibrahim Abang Ahmad, 20, yang didakwa membunuh Taufik Abdul Rahim dalam kejadian Januari tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan hadirin terdiam seketika sebelum Yew membacakan penghakimannya selepas tertuduh sebelum ini membuat pengakuan bersalah.
Mengikut fakta kes, Abang Ibrahim yang menghadapi tuduhan pilihan didakwa membunuh Taufik di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya, Kota Samarahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 15 Januari 2011.
Sebelum kejadian, tertuduh pada jam 12.30 tengah hari, hari sama dikatakan bertemu mangsa di sebuah kedai di Kampung Sadong Jaya bagi berbincang mengenai kes kecurian motosikal.
Perbincangan itu berlangsung kira-kira sejam apabila mangsa menuduh tertuduh terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal. Bagaimanapun, setengah jam kemudian, mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat hingga mengundang kemarahan tertuduh.
Kemarahan itu menyebabkan tertuduh mengambil kayu lalu menghayun dan terkena bahagian belakang kepala menyebabkan mangsa terjatuh.
Tertuduh menghayun kali kedua dan hayunan itu menyebabkan mangsa terus tidak bergerak. Keadaan itu menyebabkan tertuduh panik sebelum mencampakkan kayu digunakan dalam kejadian itu ke kawasan hutan nipah berhampiran.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili Abdul Rahman Mohd Hazmi.
No comments:
Post a Comment