Thursday, April 12, 2012

Khairy berkata langkah (PTPTN) menyenaraihitam pelajar yang tidak membayar pinjaman mengaibkan mereka

KJ: Senarai hitam 'aib' peminjam PTPTN

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyenaraihitam pelajar yang tidak membayar pinjaman mengaibkan golongan berkenaan.

Katanya PTPTN perlu mendapatkan semula hutang tersebut namun beliau berpendapat bahawa langkah menyenaraihitam itu harus dilakukan sebagai langkah terakhir.

"Kita cadangkan supaya mekanisme lain digunapakai untuk senaraihitam... Saya rasa senarihitam adalah langkah terarkhir.

Walaupun PTPTN kata ia adalah langkah terakhir, tapi saya percaya kita boleh cari kaedah lain, untuk mencari peminjam yang tidak dapat dikesan atau belum membuat pembayaran," katanya.

Tambahnya, Pemuda Umno sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO untuk mengesan peminjam supaya mereka dapat membuat pembayaran tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional di ibu negara petang ini.

Resolusi rundingan antara 160 orang wakil siswa dan kumpulan NGO itu juga sebulat suara memutuskan supaya tindakan penyenaraian hitam itu dimansuhkan.

Resolusi itu juga memutuskan agar bayaran perkhidmatan satu peratus yang dikenakan ke atas peminjam dimansuhkan.

Ia turut menuntut supaya bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas, bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.

Selain itu, mereka juga menuntut supaya pinjaman kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk belajar di Semenanjung Malaysia ditambah dan ia meliputi harga tiket penerbangan dua kali setahun, sekaligus sidang itu mempertahankan kewujudan PTPTN.

Khairy berkata beliau berjanji akan menyampaikan resolusi tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ini untuk pertimbangan sewajarnya.

Turut hadir dalam sidang media Ketua Pegawai Operasi PTPTN Wan Ahmad Wan Yusof dan Setiausaha Agung Pemuda Datuk Megat Firdaus Megat Junid.

No comments:

Post a Comment