kosmo
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa harus mendapat persetujuan daripada ahli-ahli kongres badan induk itu andai mahu merujuk kes penggantungannya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Demikian jelas Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh (gambar kecil) ketika diminta mengulas tentang hasrat yang disuarakan Annuar kelmarin.
Annuar yang digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan bersedia membawa kes tersebut kepada CAS di Switzerland sekiranya rayuan yang dikemukakannya kepada Jawatankuasa FAM ditolak.
Begitupun, Mohd. Yasin menjelaskan, Annuar tetap mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya dengan merujuk kepada CAS, namun bekas Menteri Belia dan Sukan itu perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli kongres FAM terlebih dahulu.
“Saya rasa jika beliau (Annuar) mahu membawa kes itu ke CAS, itu adalah hak beliau. Namun, beliau perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli kongres FAM kerana kes itu melibatkan disiplin dan perlembagaan dalam persatuan sukan berkenaan.
“Kes itu sama seperti kes pindaan perlembagaan dalam sesebuah persatuan itu sendiri. Kalau semua ahli bersetuju dalam satu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan, maka ia mungkin boleh dilaksanakan,” jelas Mohd. Yasin kepada Kosmo! Ahad semalam.
Annuar yang didapati bersalah kerana melanggar Artikel 88 Perlembagaan FAM iaitu memberi kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung, memberitahu dalam satu sidang akhbar di Ketereh kelmarin bahawa beliau mahu merujuk kes itu bagi menguji sejauh mana kesesuaian sistem perundangan yang diguna pakai FAM ini.
“Saya tidak pasti sama ada usahanya itu boleh dilakukan atau tidak. Saya kena semak dahulu peraturan sukan negara, kemudian baru boleh beritahu keputusannya,” tambah Mohd. Yasin.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad enggan mengulas lanjut mengenai hasrat Annuar yang mahu merujuk kes penggantungannya kepada CAS.
“Maaf, saya tidak boleh memberikan komen memandangkan ia menyentuh hal ehwal dalaman FAM.
“Sekiranya terdapat pertanyaan mengenai apa-apa masalah, anda boleh merujuk kepada FAM dengan menghantar surat secara rasmi berdasarkan tatatertib kerja melalui prosedur ‘hitam putih’ bukannya menggunakan saluran media (untuk meluahkan sebarang pertanyaan),” katanya.
Pada 4 April lalu, FAM memutuskan Annuar digantung selama dua tahun enam bulan daripada kedua-dua tugasnya setelah dibicarakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Annuar juga tidak dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya
No comments:
Post a Comment